Malaysia Dateline

Gambar hiasan

Remaja perempuan hilang di Tanjung Piai ditemukan lemas

Seorang remaja perempuan yang dilaporkan hilang ketika bermain bersama rakan di kawasan tambakan pasir berdekatan perairan Tanjung Piai, Pontian, Isnin lepas ditemukan lemas, hari ini.

Nurul Jannah Zainal, 17, ditemukan penduduk setempat yang sedang mencari siput di kawasan paya bakau berhampiran kira-kira 9.50 pagi tadi.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Johor Kepten Maritim Sanifah Yusof berkata sejurus menerima maklumat, sebuah bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) terus digerakkan ke lokasi.

“Namun, kita (APMM) mendapati ianya (mayat) hanya dapat diambil melalui jalan darat berikutan keadaan air yang surut menyebabkan bot tidak boleh memasuki kawasan tersebut,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Sanifah berkata bagaimanapun, dengan bantuan polis dan penduduk sekitar, mayat mangsa kemudiannya berjaya dikeluarkan dan disahkan oleh keluarganya.

Mayat remaja itu kemudian dibawa ke Hospital Pontian untuk bedah siasat, katanya.

Menurut Sanifah, malam tadi, operasi mencari dan menyelamatkan remaja itu terpaksa ditamatkan berikutan tiada petunjuk baharu ditemui walaupun pelbagai usaha telah dilaksanakan sepanjang lima hari pencarian.

Ia juga setelah mengambil kira pelbagai aspek termasuk kata sepakat yang dicapai semua pihak yang terlibat dalam satu perbincangan yang diadakan petang semalam.

“Namun, pada kira-kira 9.50 pagi hari ini, pihak kami (APMM) menerima maklumat awam mengenai penemuan satu mayat yang dipercayai merupakan mangsa lemas di kawasan paya bakau berhampiran lokasi kejadian,” katanya.

–BERNAMA