Reman 3 anggota TLDM disyaki bunuh 2 anggota sepasukan dilanjutkan

Reman 3 anggota TLDM disyaki bunuh 2 anggota sepasukan dilanjutkan

Tempoh reman tiga anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang ditahan sejak 1 Oktober lalu bagi membantu siasatan kes kematian dua anggota pasukan itu minggu lepas, dilanjutkan tujuh hari lagi bermula esok.

Majistret Ainul Bashiirah Dona Don Biyajid mengeluarkan perintah itu ke atas ketiga-tiga suspek berusia 29, 37 dan 44 tahun di Mahkamah Majistret Seri Manjung hari ini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ketiga-tiga mereka yang bertugas di bilik tahanan di Unit Komunikasi TLDM Sungai Wangi, Sitiawan ketika kejadian, tiba di perkarangan mahkamah kira-kira 8.50 pagi tadi sebelum dibawa keluar semula satu jam kemudian.

Pada 1 Oktober lepas, LK 1 Muhammad Baihaqy Nik Mat, 28, dan LK 1 TLS Muhammad Lailatuliman Mohd Sukri, 26, meninggal dunia di bilik tahanan berkenaan dipercayai didera berdasarkan laporan bedah siasat Jabatan Patologi Hospital Raja Permaisuri Bainun.

Bedah siasat yang dilakukan ke atas Nik Muhammad Baihaqy mendapati kematiannya disebabkan pendarahan paru-paru akibat trauma tumpul manakala Muhammad Lailatuliman meninggal dunia akibat pendarahan paru-paru serta trauma tumpul pada tisu lembut.

Semalam, mahkamah sama melanjutkan tempoh reman selama empat hari ke atas dua lagi anggota TLDM berumur 29 dan 37 tahun untuk membantu siasatan kes dua anggota pasukan itu yang mendakwa mereka dicederakan di pusat tahanan sama.

Kedua-dua anggota itu yang berusia 30 tahun membuat laporan polis pada 2 Oktober lepas dan mereka kini dirawat di Hospital Angkatan Tentera Lumut.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 325/506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah dan melakukan ugutan jenayah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dilaporkan berkata sehingga kini polis menahan tujuh orang yang kesemuanya bertugas sebagai pengawal bilik tahanan, dengan lima suspek yang berusia 29 hingga 37 tahun disiasat mengikut Seksyen 302.

Dua daripada mereka turut disiasat mengikut Seksyen 325/506 kanun itu bersama-sama dua lagi suspek yang lain.

CATEGORIES
TAGS