Malaysia Dateline

Reman blogger Milosuam dilanjutkan, mengapa MB Johor belum disiasat?

Pakatan Harapan Johor mempersoalkan mengapakah pihak polis masih belum membuat siasatan ke atas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam kes skandal hartanah Johor sedangkan blogger Milosuam yang dikaitkan dengan kes yang sama telah dilanjutkan tempoh remannya.

“Kami melihat, langkah pihak polis memohon perlanjutan reman tersebut sebagai tindakan yang cukup pantas dan tegas yang telah diambil oleh pihak berkuasa ke atas blogger Milosuam.

“Malangnya, mengapakah sehingga kini masih tiada sebarang siasatan dimulakan ke atas Khaled berikutan dakwaan rasuah mengaitkan nama beliau seperti dibangkitkan Adun Senai semasa sidang Dun Johor pada 27 November 2017 lalu?” kata PH Johor dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan tersebut dibuat bersama oleh lima pimpinan PH Johor iaitu, Pengerusi Pakatan Harapan Johor Tan SriĀ  Muhyiddin Mohd Yassin, Pengerusi Bersatu Johor Datuk Dr Shahruddin Md Salleh, Pengerusi AMANAH Johor Aminulhuda Hassan, Pengerusi PKR Johor Hassan Karim dan Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong.

Pakatan Harapan Johor menurut kenyataan itu, rasa kecewa terhadap berita perlanjutan tahanan reman ke atas blogger Yusof Al-Siddique Suratman, atau lebih dikenali sebagai Milosuam berhubung kebocoran kenyataan saksi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melibatkan skandal hartanah Johor.

“Tindakan tersebut memperlihatkan isyarat ‘ada sesuatu yang tak kena’ apabila Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang kami gelarkan sebagai Johor Official 1 (JO1) masih belum disiasat sehingga hari ini.

“Apakah pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang diperalatkan oleh JO1 demi menutup dakwaan skandal rasuah yang timbul? Apakah SPRM telah menjadi perkakas untuk kepentingan JO1?

“Isu ini amat serius. Kami berpendapat, respons Khaled semasa ucapan penggulungan sidang Dun Johor Isnin lalu sebagai percubaan Khaled untuk berlepas tangan. Bahkan ia merupakan suatu pembohongan,” kata kenyataan itu lagi.

Dalam ucapan tersebut, menurut PH Johor, Khaled mendakwa pentadbiran beliau ‘tidak menerima apa-apa suapan, tidak akan menerima apa-apa suapan dan akan menentang segala usaha untuk memberi apa jua bentuk suapan’ samada kepada diri beliau atau pentadbiran beliau.

“Khaled secara terang-terangan telah berbohong di Dewan Negeri. Rakyat Johor masih tidak lupa bagaimana exco di bawah pentadbiran beliau pada awal tahun ini, Datuk Abd Latiff Bandi telah didakwa atas tuduhan rasuah berhubung isu hartanah Johor. Kami ulang, Latiff adalah ‘exco di bawah pentadbiran beliau’.

“Kami mendesak agar pihak berkuasa khususnya SPRM tidak bersikap selektif dalam memgendalikan kes skandal hartanah di Johor ini.

“Kegagalan SPRM untuk memulakan siasatan terhadap Khaled hanyalah akan menzahirkan sikap tidak adil serta pengabaian terhadap kepentingan rakyat Johor keseluruhannya,” kata kenyataan itu.