Malaysia Dateline

‘Rencana Induk Port Dickson’ tangani permasalahan setempat, kata Anwar

Anggota Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini telah membentuk ‘Rencana Induk Port Dickson’, sebuah program pembangunan komprehensif khusus bagi menangani pelbagai permasalahan berkaitan isu alam sekitar dan setempat di kawasan Parlimen itu.

Menerusi satu kenyataan di sini hari ini, beliau yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, perkara berkenaan telah dibincangkan dalam satu mesyuarat hari ini bersama Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun yang turut disertai beberapa pihak termasuk pelabur berpotensi tinggi.

“Rencana induk ini adalah program pembangunan komprehensif yang mengadunkan pelan pembangunan secara holistik, mesra alam dan mampan.

“Kita akan meneliti dan mengkaji beberapa aspek antaranya menopang perniagaan kecil dan sederhana dalam menguasai teknologi digital, sistem kumbahan yang teratur, kebersihan pantai dan mengurangkan kesesakan trafik sekitar Port Dickson,” katanya.

Anwar yang baru hampir tiga bulan menjadi anggota parlimen di kawasan itu berkata, sejak akhir-akhir ini beliau telah banyak memberi tumpuan dan mendengar pelbagai pandangan, idea, rintihan dan harapan pelbagai pihak di kawasan Parlimen itu.

Beliau menyambut baik cadangan dan pandangan penduduk Port Dickson mengenai apa jua permasalahan dan isu berkaitan memandangkan rencana itu akan dikemas kini dari semasa ke semasa.

— BERNAMA