Malaysia Dateline

RENCANA: Lapor polis kepada Anwar: Armada perlu belajar undang-undang

Saya rasa agak lucu tindakan segelintir ahli PPBM apabila membuat laporan polis kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini. Ketika Anwar mengumumkan punya majoriti pada 23 September lalu sebilangan MP telah membuat laporan polis mengatakan mereka termasuk dalam kabinet Anwar walaupun Anwar Ibrahim tidak pernah mengeluarkan senarai nama sokongan ahli Parlimen yang ada pada beliau.

Hari ini mereka membuat lagi sekali laporan polis terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana dikatakan beliau menghina institusi di raja.

Persoalannya ketika Langkah Sheraton terjadi adakah Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan senarai nama ahli Parlimen yang menyokong beliau? Kenapa Armada tidak membuat laporan polis terhadap PM yang kini sudah hilang majoriti?

Armada perlu khuatir dengan situasi Perikatan Nasional (PN) sekarang apabila Biro Politik Umno semalam mengesahkan membuat pertimbangan untuk keluar daripada gabungan PN dan ini juga bermakna Tan Sri Muhyiddin Yassin automatik sudah hilang majoriti di Parlimen.

Jadi kerajaan hari ini sudah dikira tumbang juga mengesahkan kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam. Saya mahu bertanya pada Armada berapa senarai ahli Parlimen yang menyokong kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin jika Umno sendiri sudah bermain tarik tali dengan kerajaan sedia ada?

Kami juga ingin tahu senarai nama yang menyokong kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana jika diikut sifir mudah tanpa Umno, PM sekarang sudah hilang majoriti.

Apa kaitan pertemuan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Akta Hasutan? Akta ini tiada kena mengena dengan pembohongan DSAI. Apa yang dibohongi beliau sedangkan dari awal lagi Anwar sendiri tidak pernah mengeluarkan senarai nama MP yang menyokong beliau.

Jadi ahli Parlimen yang kepanasan beberapa hari lepas sehingga pergi membuat laporan polis kepada DSAI itu dapat senarai dari mana? Seharusnya orang yang menyebarkan senarai palsu itu dipersoalkan.

Armada juga perlu meneliti kandungan Akta Hasutan Seksyen 3 & 4 seperti dinyatakan di mana dalam klausa 1(a) iaitu kecenderungan bagi mendatangkan atau penghinaan bagi membangkitkan perasaan tidak setia pada Raja atau kerajaan. Manakala Seksyen 4 lebih kepada kesalahan menyebut apa-apa perkataan menghasut atau mengeluarkan penerbitan berunsur hasutan.

Di mana hasutan yang dilakukan oleh Ketua Pembangkang sedangkan beliau hanya menghadap Yang Di Pertuan Agong (YDPA) setelah disambut baik oleh Istana Negara?

Adakah pertemuan Datuk Seri Anwar Ibrahim dikira menghina institusi diraja jika beliau sendiri mendapat perkenan Yang Di Pertuan Agong? Adakah Armada cuba menghasut orang ramai meremehkan perkenan YDPA dengan tindakan keanak-anakan seperti ini?

Ketua Penerangan Armada mungkin punya masalah amnesia kerana Langkah Sheraton itu sendiri menyebabkan suasana huru-hara dan menggugat kestabilan Malaysia di kala rakyat Malaysia sedang berhadapan pandemik Covid19.

Saya menyarankan barisan kepimpinan Armada paling kurang belajarlah tentang undang-undang sebelum mengeluarkan kenyataan dan laporan polis. Mereka dilihat seperti anak kecil yang hanya tahu mengadu domba untuk meraih perhatian tetapi tidak pula faham kenapa pergolakan politik ini terjadi.

Mungkin Armada harus fokus bantu masalah rakyat dan bagaimana ingin menyumbang pada masyarakat ketika waktu yang sukar ini bukannya sibuk membuat laporan polis atas tuduhan yang tidak berasas.

——————————–

Penulis adalah aktivis politik di Terengganu dan pembaca Malaysia Dateline.