Malaysia Dateline

Rentas negeri abai SOP: Ziarahi ibu bapa sakit, moyang pula dijangkiti Covid-19

Persepsi “lagi-lagi salahkan rentas negeri” tidak tepat. Jika tindakan rentas negeri tidak diuruskan dengan baik, ianya punca menular dalam masyarakat.

Terbaharu kisah seorang pekerja dari Selangor pulang dengan izin ke Terengganu kerana ingin menziarahi ibu yang sakit di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

Kebetulan beliau merupakan kontak rapat kepada kawan sekerja yang disahkan positif Covid-19. Beliau pulang selepas ujian Rapid Test Kit Antigen (RTK-Antigen) yang dibuat di klinik swasta negatif.

Banyak orang salah faham apabila ujian pertama negatif. Saya pernah sebut banyak kali, ujian pertama negatif tidak bermaksud kita telah bebas dari Covid-19 apalagi kalau kita adalah kontak rapat kes positif. Ujian ulangan mesti dibuat.

Adik-beradik beliau dari beberapa negeri pun pulang sama dan berhimpun di sebuah inap desa di Kuala Terengganu. Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) pasti sukar.

Enam hari selepas ujian pertama beliau mula tidak sihat. Ujian RTKAg didapati reaktif dan ujian PCR juga positif pada 22 Jun.

Saringan kontak rapat mengesan enam ahli keluarga beliau positif. Bagaimana dengan mereka yang berjumpa dengan beliau atau kontak sosial lain? Seminggu adalah masa yang lama untuk menjangkiti ramai orang lain.

Jangan disebabkan tindakan rentas negeri Covid-19 ditularkan kepada orang lain.

Pandang remeh

Kisah kedua pun sama. Kes indeks dan suami telah pulang ke Kelantan dengan izin pada 12 Jun untuk melawat ayah kes yang tenat. Ahli keluarga, sanak-saudara dan jiran tetangga turut hadir melawat ayah kes. PEMATUHAN SOP pasti sukar.

Dua hari kemudian, ayah kes meninggal dunia dengan keputusan Covid-19 positif. Kes tinggal serumah bersama tiga warga emas (ibu, nenek dan moyang) dan lima anak.

Kes disahkan positif Covid-19 semasa saringan di Klinik Kesihatan. Beliau juga telah menjangkiti ibu, nenek, moyang dan tiga anak. Kesemua mereka ini merupakan golongan yang patut dilindungi.

Kedua-dua kes pulang untuk menziarahi ibu bapa yang sakit. Alasan yang munasabah. Cuma apabila kita DARI atau PERGI ke zon merah kita kena LEBIH BERJAGA-JAGA kerana risiko jangkitan tinggi apabila berada di zon merah. Jangan pandang remeh potensi jangkitan Covid-19.

Walaupun kisah rentas negeri yang membawa penularan kes dalam keluarga sering dikongsi, tetapi nampaknya masyarakat tidak ambil peduli. Mungkin orang tidak suka baca nasihat begini.

Banyak kali kita ulang. Rentas negeri tidak salah tetapi tanggungjawab semasa rentas negeri itu yang penting.

Jangan disebabkan tindakan rentas negeri, kita menularkan Covid-19 kepada orang lain. Apalagi masyarakat yang sekian lama DUDUK RUMAH.

Sepanjang Mei dan Jun, kita telah mengesan seramai 398 kes import B iaitu kes ada sejarah rentas negeri. Kemudian ada aktiviti berhimpun sebab kenduri-kendara, majlis sosial termasuk kematian atau majlis raya atau majlis lain.

TIADA PULA PEMATUHAN SOP maka terhasillah pelbagai kluster dalam komuniti. Kluster berhimpun dalam komuniti punca merebaknya Covid-19 di Terengganu.

Semoga kita semua terus berikhtiar melalui PEMATUHAN SOP, mendapatkan suntikan vaksin dan berdoa supaya situasi Covid-19 di Terengganu kekal terkawal.

 

*DR NOR AZIMI YUNUS merupakan Pengarah Kesihatan Terengganu.