Malaysia Dateline

Kenderaan yang menggunakan Lebuh Raya UtaraSelatan PLUS menghala ke Utara sesak dan bergerak perlahan ketika tinjauanFoto Bernama

Rentas negeri: Plus jangka trafik meningkat, 1.3 juta kenderaan sehari

Aliran trafik dijangka akan meningkat sebaik sahaja kerajaan mengumumkan kebenaran merentas negeri tidak lama lagi.

Misalnya trafik di Lebuhraya Utara-Selatan (Plus)  dijangka meningkat antara 1.1 hingga 1.3 juta kenderaan sehari sebaik rentas negeri dibuka semula berikutan 90 peratus populasi dewasa telah divaksinasi.

Plus menjangkakan ramai penduduk Lembah Klang serta dari negeri-negeri lain akan merebut peluang ini untuk melakukan perjalanan untuk bertemu ahli keluarga dan sahabat handai.

Ketua Pegawai Operasi Plus Malaysia Berhad Datuk Zakaria Ahmad Zabidi dalam kenyataan hari ini berkata Plus telah bersedia untuk pembukaan semula perjalanan antara negeri dan bersedia untuk kemasukan jumlah kenderaan yang tinggi.

“Lebuhraya Plus telah bersedia untuk pembukaan semula perjalanan antara negeri dan semua 94 plaza tol di seluruh wilayah utara dan selatan bersedia untuk menerima pertambahan kenderaan sebaik sahaja rentas negeri dibenarkan,” katanya dipetik Bernama.

Zakaria juga mengingatkan pengguna lebuh raya agar sentiasa memastikan tahap keselamatan mereka dan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) iaitu memeriksa MySejahtera, pemakaian pelitup muka yang betul, penjarakan fizikal dan pensanitasi tangan, yang perlu dipatuhi di sepanjang lebuh raya.

“Kami teruja bahawa 90 peratus populasi dewasa kita telah divaksinasi sepenuhnya dan kini boleh melakukan perjalanan di lebuh raya tetapi perlu mematuhi SOP Covid-19. Kami menggalakkan mereka selepas dua jam memandu supaya berhenti di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) dan hentian sebelah kami untuk berehat,” katanya.

Semua kemudahan awam di 29 R&R dan 50 hentian sebelah Plus sentiasa dibersihkan bagi memastikan ia sentiasa diselenggara dan kemudahan seperti surau dan tandas dibuka 24 jam sehari.

Selain itu, kerjasama dengan Polis Trafik, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersama kakitangan Plus di sepanjang 1,130 km itu dapat meningkatkan penguatkuasaan di lebuh raya tersebut.

Selain itu, pengguna lebuh raya juga mempunyai pilihan digital untuk membuat pesanan awal daripada rakan kongsi perniagaan di R&R terpilih bagi makanan berbungkus iaitu di https://ordersini.plus.com.my dan rancang perjalanan mereka menggunakan Aplikasi Plus atau mendaftar sebagai ahli PlusMiles melalui www.plus.com.my.