Malaysia Dateline

Rentas zon di Sarawak diperketatkan mulai 19 April ini

Berikutan kes positif Covid-19 yang mendadak naik di negeri ini, Sarawak akan mengambil langkah memperketatkan pergerakan rentas zon mulai 19 April ini.

Pengerusi JawatanKuasa Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Datuk Amar Douglas Embas berkata, sepanjang penguatkuasaan itu hanya tiga senarai perkhidmatan penting sahaja dibenarkan melakukan pergerakan rentas zon dengan permit dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sarawak.

Jelasnya, tiga senarai perkhidmatan penting itu ialah pengangkutan awam, pemandu yang menghantar barang makanan dan keperluan harian dan kecemasan.

“Berdasarkan kes positif sebanyak 505 dan lapan kluster yang direkodkan sejak Januari 2021 sehingga kini adalah disebabkan oleh pergerakan antara zon (Import).

“Untuk itu, JPBN telah mengambil keputusan untuk memperketatkan pergerakan rentas antara zon di negeri ini,” tegas beliau dalam satu kenyataan.

Tambah Uggah, bermula 19 April 2021 (Isnin), pergerakan merentas zon harus mendapatkan kelulusan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya lagi, PDRM telah diarahkan untuk mengeluarkan polis permit hanya kepada mereka yang tersenarai dalam kategori perkhidmatan penting sahaja.

“JPBN juga mengeluarkan definasi perkhidmatan penting iaitu pengangkutan awam, pemandu yang menghantar barang makanan dan keperluan harian dan kecemasan sahaja dibenarkan untuk melakukan pergerakan rentas zon.

“Bagi premis perniagaan yang menjalankan perniagaan runcit dan keperluan makanan dibenarkan beroperasi sehingga jam 12.00 malam.

“Manakala pusat hiburan seperti bistro dan kafe termasuk pusat karaoke hanya dibenarkan beroperasi sehingga jam 10.00 malam,” ujar beliau.