Reputasi buruk MO1 punca pelabur lari, kata Salahuddin

Reputasi buruk MO1 punca pelabur lari, kata Salahuddin

Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub mendakwa,  penarikan pelaburan  syarikat Saudi Arabian Oil Co (Saudi Aramco)  daripada projek mega Rapid Petronas di Penggerang, Johor  berkemungkinan berpunca daripada reputasi buruk individu yang digelar sebagai “MO1” (Malaysian Offcial No 1) dalam skandal membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau turut berkata, jawaban diberikan Menteri Kewangan II Datuk Johari Abdul Ghani berkaitan dengan penarikan semula pelaburan syarikat Saudi Aramco sangat tidak menyakinkan.

 “Sangat tidak meyakinkan penjelasan Menteri Kewangan Kedua yang memberikan jawapan sekadar melepaskan batuk ditangga berkaitan isu syarikat Aramco kerana menarik diri secara mengejut dari projek Rapid Petronas Pengerang.

“Penarikan pelaburan besar sebuah syarikat Saudi Aramco yang bernilai AS$27 bilion dari projek mega Rapid Petronas di Penggerang, Johor berkemungkinan berpunca daripada reputasi buruk MO1 dalam isu 1MDB yang menjejaskan imej negara,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Johari yang dipetik berkata Petronas memang membiayai sendiri projek Penapisan dan Pembangunan Petrokimia Bersepadu (Rapid) sejak awal sedangkan,rancangan pembabitan Saudi Aramco untuk projek Rapid itu hanyalah suatu pilihan.

Pada Isnin lalu, Salahuddin mendesak Najib menjelaskan punca pembatalan perjanjian kerjasama antara Saudi Aramco dan Petronas bernilai AS$27 bilion di Pengerang, Johor.

Ini ekoran laporan media bahawa syarikat minyak dan gas gergasi Arab Saudi itu merancang untuk menangguhkan kerjasama dengan Petronas, sekali gus menimbulkan tanda tanya tentang masa depan projek berkenaan.

Manakala media asing Reuters pada 27 Januari melaporkan Petronas akan meneruskan projek itu demi memastikan operasi Rapid bermula pada 2019, walaupun tanpa penyertaan Saudi Aramco.

Menurut Salahuddin lagi, laporan yang disiarkan itu menjadi satu isu besar yang melibatkan intergriti negara dan rakyat apabila satu jumlah pelaburan yang bernilai puluhan bilion ringgit tiba-tiba hilang begitu sahaja.

“Amanah sangat bimbang dengan tindakan perundangan yang tegas oleh beberapa negara seperti Amerika Syarikat, Switzerland dan Singapura telah menambah buruk lagi imej dan reputasi Malaysia yang sudah pasti menjejaskan peluang FDI dan perniagaan di negara ini,” ujarnya.

TAGS