Malaysia Dateline

Reputasi Malaysia akan rosak jika tambatan ringgit dilakukan

Reputasi Malaysia akan rosak jika Bank Negara Malaysia (BNM) menguruskan ringgit secara aktif menerusi tambatan ringgit sebagaimana dicadangkan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pengarah Biro Ekonomi Parti Amanah Nasional (AMANAH), Mohd Ammar Atan berkata jika tambatan dilakukan hari ini, Malaysia akan dilihat sebagai negara yang tidak menghormati semangat pasaran, pada ketika negara lain tidak memikirkan soal tambatan mata wang.

Bahkan katanya, tindakan BNM meningkatkan OPR baru-baru ini adalah untuk menangani situasi itu, yang turut menyaksikan Indonesia, Filipina, Thailand serta Korea Selatan juga menerima tempias.

Reputasi Malaysia merosot jika tambatan ringgit dilakukan
Nilai Ringgit Malaysia menjadi lemah kerana mata wang yang rendah

Kedudukan ringgit yang lemah katanya, tidak semestinya sesuatu yang buruk kerana ia disebabkan mata wang yang rendah akan menjadikan negara lebih berdaya saing dan menggalakkan eksport negara.

“Kira-kira 36 peratus daripada pekerja Malaysia dan 42 peratus daripada pendapatan buruh di negara ini adalah daripada sektor berorientasikan eksport. Secara amnya, ringgit yang lebih rendah menjadikan eksport kita lebih berdaya saing kerana keadaan itu menjadikannya lebih murah,” ujarnya.

Ammar percaya Tun Mahathir cuba menunjukkan kerisauannya dengan kedudukan ringgit yang rendah, konon akan menyebabkan aliran keluar pelaburan asing, kos import mahal seterusnya kenaikan inflasi mendadak.

Kerisauan itu jelasnya bukanlah tidak berasas, tetapi cadangan Tun Mahathir akan menyebabkan lebih banyak kesan negatif berbanding positif.

“Senario kewangan semasa negara sangat berbeza berbanding 25 tahun lalu, sewaktu negara menghadapi krisis kewangan Asia 1997 hingga 1998.

“Apabila ditambat ketika itu, kedudukan ringgit telah jatuh mendadak dalam masa singkat dari RM2.40 ke RM4.90 berbanding USD1 disebabkan serangan spekulatif.

“Ketika itu juga, hanya beberapa mata wang dunia yang terkesan, khususnya Asia dan ia bukanlah senario global seperti hari ini,” katanya lagi.

Pada tahun 1997 hingga 1998, memandangkan kemerosotan mata wang adalah “unik” iaitu melibatkan beberapa negara sahaja, dasar tambatan ringgit masih boleh diterima.

Justeru katanya, dasar menambat ringgit bukanlah solusi ampuh untuk memastikan aliran pelaburan asing kekal atau meningkat ke dalam negara.

Mohd Ammar Atan

“Pelbagai faktor menyumbang ke arah aliran pelaburan, tetapi punca yang lebih signifikan adalah ketidastabilan politik, gangguan rantaian bekalan dan kelemahan polisi kerajaan,” tambahnya lagi.

Terdahulu, Tun Mahathir mencadangkan kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan tambatan mata wang yang diamalkan semasa Krisis Kewangan Asia 1997 dalam menangani ketidaktentuan ketara nilai ringgit dalam pasaran pertukaran asing.

Dr Mahathir dalam ciapan di Twitter berkata, ketidaktentuan ekonomi global akibat pandemik COVID-19 menjadikan perkara itu wajar dipertimbangkan untuk mencegah ketidakstabilan nilai ringgit.