‘Resepi’ tukang masak untuk lihat Amanah maju

‘Resepi’ tukang masak untuk lihat Amanah maju

Jalaluddin Ab Manap atau mesra dipanggil Pak Amjal yakin meskipun Amanah  dilempar pelbagai nista dan menempuh sedikit kepayahan di laluan terowong tetapi di hujungnya pasti cahaya kejayaan akan menanti.

Pak Amjal bekas penyokong setia Pas sejak awal 1980-an ini rancak bercerita tentang makna perjuangan kala lalu dan masa depan.

Beliau berpegang pada prinsip diri: Tiada noktah untuk perjuangan selagi adanya denyutan nadi.

Atas kesedaran itulah, beliau pada usia 80 tahun ini nekad dengan keputusan berpadu tenaga bersama Parti Amanah Negara ( Amanah).

“Bergantung pada kepimpinan Amanah. Elok acuan, moleklah jadinya. Kalau kemudi hilang arah, kapal habis terlanggar karang.

“Pada masa sama, generasi pelapis pula mestilah menyambung perjuangan dengan menambah baik apa yang patut,” ujar beliau ketika penulis bersamanya di sebuah kedai makan dekat Pejabat Daedah Kecil Sadong Jaya, petang semalam.

Bersemangat menceritakan tentang Presiden Amanah, Mohamad Sabu, baginya sukar untuk mencari pemimpin yang tegar berjuang.

Beliau yang menyertai petugas jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Dun Sadong Jaya, menganggap ciri kepimpinan yang ada pada Mohamad yang juga dikenali sebagai Mat Sabu itu harus diteladani bukan dicemuhi.

“Apa yang mereka (sebahagian penyokong Pas hari ini) tak kata pada Presiden (Mat Sabu)? Mereka lupa orang yang dicemuh itulah yang dahulunya diguna untuk menarik orang ramai datang ke ceramah Pas hingga boleh memenuhkan tabung derma.

“Tanpa ada orang seperti Presiden, tidak berlaku perbincangan dalam masyarakat kita dan kerajaan pun tidak memberi perhatian terhadap apa yang sepatutnya rakyat tahu.

Pak Amjal yakin Amanah ada masa depan cerah di Sarawak.“Sejak dahulu (dalam Pas), macam-macam isu yang Presiden bawa sampai membuka mata kita semua. Presiden buka isu Baitulmal, kebajikan, KWSP yang menyebabkan rakyat mula berfikir. Isu Mat Indera sebagai pejuang juga jadi perbincangan umum. Umno tidak mahu rakyatnya berfikir jauh,” jelas bapa kepada enam anak dan 22 cucu ini.

Justeru, resipi ringkas untuk Amanah bergerak maju, ujarnya, banyak perkara yang berfaedah untuk rakyat perlu diketengahkan dengan merakyatkan perbincangan membina.

“Raikan kepakaran juga kepelbagaian fikiran dalam kalangan pemimpin dan ahli Amanah. Manfaatkan kelebihan ahli sama ada dari segi akal yang menguasai pelbagai lapangan ilmu sehingga tenaga untuk terus bekerja,” tambahnya lagi.

Di Markas Amanah PRN di Sadong Jaya, Pak Amjal bertindak sebagai tukang masak bagi kumpulan petugas jentera pilihan raya di Kampung Semera Ulu.

COMMENTS

Wordpress (0)