Malaysia Dateline

Reset Malaysia serah memorandum pada penyimpan mohor raja, bantah lantikan Mahiaddin

Gerakan Reset Malaysia hari ini menyerahkan satu memorandum kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad memohon agar dilakukan semula penstrukturan Majlis Pemulihan Negara (MPN).

MPN dipengerusikan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin yang dilantik ke jawatan itu bertaraf menteri.

Pengarahnya, Abu Hafiz Salleh Hudin berkata, lantikan bertaraf menteri adalah cukup mengecewakan kerana ianya berbeza dengan cadangan dikemukakan Tun Dr Mahathir Mohamad, di mana MPN seharusnya diketuai dan dianggotai pakar-pakar kesihatan dan profesional.

“Warkah ini juga diserahkan susulan selepas beberapa minggu kami menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong, memohon agar tiada campur tangan politik dalam MPN,” katanya kepada pemberita hari ini di hadapan Pejabat Penyimpan Mohor Raja-Raja.

Sementara itu, Ketua Sekretariat Reset Malaysia Dr Nurul Ashikin memaklumkan, permohonan penstrukturan semula MPN telah disokong 116 badan bukan kerajaan (NGO) yang menyatakan rasa tidak setuju terhadap pelantikan semula Mahiaddin.

Beliau berkata, Mahiaddin sebelum ini telah gagal mempengerusikan MPN dan tiada sebab kukuh untuk melantik semula Ahli Parlimen Pagoh itu ke dalam jawatankuasa berkenaan.

“Kita tak nampak sebab mengapa perlu letakkan seorang pengerusi yang telah pun gagal sebelum ini mentadbir kerajaan, dan dilantik sebagai pengerusi MPN sekali lagi.

“Sebab itu Reset Malaysia bersama 116 ngo lain kami menuntut seorang Pengerusi dari pemimpin yang terbukti berjaya menguruskan negara sewaktu pandemik untuk mengetuai MPN.

“Kita telah menyerahkan warkah kepada Tan Sri Syed Danial untuk dipanjangkan kepada setiap Raja-Raja Melayu memohon perkenan agar penstrukturan MPN ini diadakan. Beserta warkah, kami lampirkan memorandum bagi setiap Raja-Raja,” katanya kepada pemberita.

Beliau juga menyifatkan pelantikan Mahiaddin sebagai pengerusi bertaraf menteri adalah gerakan yang mementingkan jawatan dan kepentingan politik semata-mata.