Resipi cheesy wedges ala KFC! Sedap dan berbaloi

Oleh MAISARAH AISYA

Disebabkan ramai yang memilih untuk boikot makanan dari restoran makan segera, maka boleh cuba resipi ini buat anak yang teringin nak makan.

Jimat dan banyak kuantiti jika mahu dibandingkan semasa membeli, anak boleh makan banyak dan lebih menikmati.

Resipi in dikongsikan menerusi laman Says Seismik Makan.

Resipi cheesy wedges ala KFC

No photo description available.

Bahan-bahan:

  • 4 biji kentang – Kalau tak nak kupas kulit pun tak mengapa. Tapi, pastikan ianya dibasuh bersih ya.
  • Mixed herbs
  • Lada sulah
  • Garam
  • Tepung jagung (boleh juga guna tepung goreng serbaguna Bestari)

Cara-cara:

  1. Potong Kentang
    Pertama sekali, potongkan kentang dalam bentuk wedges.
  2. Kukus
    Kemudian, kukuskan kentang supaya agak-agak lembut. Lebih kurang dalam 5-7 minit.
  3. Gaulkan Mixed Herbs
    Selepas dikukus, keluarkan dan letak dalam mangkuk. Tabur mixed herbs, lada sulah dan garam. Ini jenama yang saya gunakan. Nak gunakan jenama lain pun boleh.
    Gaulkan biar sebati.
  4. Taburkan Tepung Jagung
    Seterusnya, taburkan pula tepung jagung. Gaul sebati.
  5. Goreng
    Goreng tenggelam dalam minyak hingga kekuningan dan garing. Apabila siap, bolehlah dihidang bersama sos cili atau sos cheesy.
    Di bawah ini adalah cara membuat sos cheesy homemade.

Cara buat sos cheesy homemade

Bahan-bahan:

  • 3-4 sudu makan mentega / marjerin
  • 250ml susu segar / susu cair
  • 1 sudu makan tepung gandum yang diayak
  • 1 kiub pati ayam
  • 6 keping keju biasa
  • sedikit serbuk lada hitam & lada putih
  • sedikit pewarna kuning (optional)

Cara-cara:

  1. Panaskan Bahan
    Mula-mula, cairkan mentega. Kemudian masukkan susu dan tepung gandum. Kacau sehingga tepung sebati.
  2. Masukkan Kepingan Keju
    Masukkan pula kepingan keju, kiub pati ayam dan serbuk lada. Kacau sebati hingga masak.
    Pewarna kuning boleh ditambah untuk menaikkan warnanya.
  3. Siap
    Pastikan sos tidak terlalu pekat atau terlalu cair. Agak-agak dah sesuai, boleh tutup apinya dan terus dihidang bersama kentang wedges tadi. Tambah mayonis pun sedap.

Kalau nak lagi mudah, gunakan terus serbuk cheese segera. Cuma ambil 3 sudu besar serbuk ini dan bancuh dengan air panas.

Kacau-kacau hingga ia menjadi sos. Selamat mencuba!

Baca juga: Resipi ayam goreng berempah ala kedai! Kalau makan mesti bertambah nasi