Resolusi pencegahan, penyelesaian konflik secara aman perlu pertimbangan serius – Menteri Luar Turki

Resolusi pencegahan, penyelesaian konflik secara aman perlu pertimbangan serius – Menteri Luar Turki

Resolusi pencegahan serta penyelesaian konflik secara aman adalah penting dan dunia perlu mempertimbang perkara itu secara serius, kata Menteri Luar Turki Mevlut Cavusoglu.

Justeru, penonjolan kepentingan resolusi terbabit, yang dicerminkan menerusi penganjuran persidangan antarabangsa berasingan namun berkaitan mengenai pengantaraan yang berlangsung minggu ini di Turki, sememangnya akan terus memacu usaha negara itu dalam bidang pengantaraan.

Persidangan itu ialah Persidangan Kedua Negara-Negara Anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengenai Pengantaraan dan edisi kelima Persidangan Pengantaraan Istanbul yang masing-masing berlangsung pada 29 dan 30 Nov.

“Sebagai tuan rumah kedua-dua persidangan ini, dan satu-satunya negara yang menjadi pengerusi bersama Kumpulan Pengantaraan bagi Rakan OIC dalam tiga badan antarabangsa yang penting iaitu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, OIC serta Pertubuhan Keselamatan dan Kerjasama di Eropah (OSCE), Turki memiliki keupayaan untuk berkongsi rumusan persidangan dengan kesemua badan antarabangsa ini.”

Cavusoglu berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar Turki kepada Bernama di sini hari ini.

“Syria menunjukkan kepada kita bahawa pencegahan adalah penting kerana jika sekali api konflik menyelubungi sesebuah negara, maka satu-satunya perkara yang kekal boleh diramal ialah akan terdapat kesan yang tidak dapat dijangka di negara itu.

“Satu generasi rakyat akan menjadi sia-sia dalam cara apapun; masa depan juga bakal suram.

“Semua orang, termasuk mereka yang berada beribu-ribu kilometer jauhnya, akan turut menderita, sama ada dalam bentuk ancaman pengganas, kejutan ekonomi, penghijrahan tidak teratur, atau hati nurani manusia yang tercalar,” katanya.

Menurut Kementerian Luar Turki, persidangan OIC membahaskan isu serantau serta konflik yang wujud di negara-negara anggota OIC.

Dianjurkan dalam konteks kepentingan atribut Turki kepada pengantaraan sebagai satu kaedah pencegahan dan penyelesaian konflik secara aman, tema Persidangan Pengantaraan Istanbul tahun ini ialah ‘Enhancing the Practice of Mediation for Sustaining Peace.”

 

Diterjemah dan disunting oleh Sabarina Baharom

— BERNAMA