Respon kasar tanda hati lemah, pakar motivasi ajar cara ‘smash’ soalan mak cik bawang

Oleh WAN SITI AMINAH

Perkara yang paling ‘menyeramkan’ ketika sambutan Aidilfitri tentulah kehadiran mak cik bawang bersama soalan cepumas mereka mengenai pekerjaan, jodoh dan zuriat.

Mungkin berniat untuk mengambil berat atau sekadar bergurau senda, namun soalan sensitif ini terkadang berbunyi sindiran sehingga menyakitkan hati para penerimanya.

Oleh kerana soalan ‘cepumas’ ini selalunya ditanya oleh golongan warga emas atau mereka yang lebih berusia, kita tidak disarankan untuk menjawabnya dengan kasar.

Menurut pakar motivasi dikenali sebagai Termizi Aziz, mereka yang memberi jawapan kasar kepada soalan sensitif mak cik bawang ini kemungkinan memiliki hati ‘lemah’.

Turut menyarankan cara menjawab soalan sensitif dengan betul, penjelasan tersebut dibuat oleh Termizi Aziz menerusi satu hantaran video di akaun TikTok miliknya.

Menurutnya, jawapan kasar tidak sepatutnya diberikan memandangkan kita sebagai orang Islam sudah dididik untuk bersikap beradab dengan orang yang lebih berusia.

“Banyak perkongsian saya jumpa, mengajar orang ramai menjawab (soalan sensitif) dengan sentap kepada mak cik bawang yang bertanya status atau kerja semasa Hari Raya.

“Saya tidak setuju. Dalam Islam kita diajar untuk beradab dengan orang yang lebih tua meskipun diuji sebegitu rupa. Tidak perlu kita balas dengan mulut ‘laser’ atau jawapan sentap.

“Kenapa? Itu tanda kita mempunyai hati yang sangat lemah (sekiranya memberikan jawapan yang kasar),” katanya pemilik akaun yang memiliki 326.7 ribu pengikut itu.

Jelas Termizi, mereka yang menerima soalan sensitif seperti ini seharusnya berbesar hati dengan menjawab dengan sopan selain mendoakan mak cik bawang berkenaan.

“Sepatutnya apa yang perlu dibuat apabila ditanya soalan-soalan sebegitu, maka kita dengan jiwa besar cakap kepada mak cik tersebut untuk mendoakan supaya dimurahkan rezeki.

“Minta didoakan supaya dipertemukan dengan jodoh yang baik. Kita minta doanya dan kita pula di dalam hati doakan supaya mak cik ini diberikan hidayah. Maka itulah respon yang terbaik.” Ulasnya.

Baca juga: Belikan TV tanda maaf, Muaz Zabir akui kemarahan ibu sudah reda lepas raya pertama bersama