Restoran mohon maaf berhubung komen ‘type C’ – “Kesilapan tidak disengajakan”

Oleh WAN SITI AMINAH

Tindakan sebuah restoran makanan segera tempatan meninggalkan komen ‘type C’ nampaknya mengundang padah apabila didakwa cuba bermain isu perkauman.

Sehubungan dengan itu, DarSA Fried Chicken atau DFC membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi hantaran di laman Facebook berhubung komen berkenaan.

Dalam hantaran tersebut, restoran yang menghidangkan menu berasaskan ayam itu menyifatkan bahawa komen berkenaan adalah satu kesilapan tidak disengajakan.

Perkara ini mungkin berpunca daripada kakitangan yang menguruskan sosial media DFC hilang fokus ketika menjawab terlalu banyak komen ‘menjatuhkan’ dari netizen.

“Kami memohon maaf dan mengakui ia adalah satu kesilapan yang tidak disengajakan. Mungkin terlalu banyak komen yang berunsur menjatuhkan sedikit sebanyak menganggu fokus Admin kami.

“Kami mengalu-alukan semua pelanggan kami di pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa atau agama. Semoga Malaysia yang kita kasihi ini aman dan damai.

“Pihak pengurusan DarSA Fried Chicken sedang memberi tumpuan sepenuhnya kepada operasi restoran pertama kami yang baru buka pada 29 April lalu,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Pihak restoran juga mengambil keputusan untuk tidak lagi menjawab sebarang isu selepas ini melainkan mengenai operasi bagi mengelakkan kesilapan sama berulang.

Sekadar info, perkataan ‘type C’ ini seringkali digunakan oleh segelintir masyarakat tempatan terutamanya di platform media sosial untuk merujuk kepada bangsa Cina.

Isu ‘type C’ ini bermula apabila ramai pengguna media sosial meluahkan rasa tidak senang di laman Facebook DFC berhubung harga menu mereka yang agak mahal.

Pihak restoran malah mengingatkan pelanggan berkenaan supaya tidak ‘ditipu oleh sentimen buruk yang dimainkan oleh ‘type C’’ merujuk kepada orang Cina tempatan.

Komen yang ditinggalkan oleh pentadbir media sosial syarikat di laman Facebook.

“Tuan tengok senarai harga ‘ala carte’ semata-mata atau keseluruhan? Kena tengok keseluruhan baru tahu mahal ke berpatatutan.

“Type C tengah cuba main bermacam sentimen buruk terhadap DarSA Fried Chicken. Kita jangan mudah terpedaya selagi tak datang cuba sendiri.” Tulis pihak restoran di ruangan komen di Facebook.

Komen tersebut telah mengundang kritikan daripada orang ramai yang menganggap pentadbir media terbabit tidak profesional dan mengeluarkan ucapan berbaur rasis.

Rata-rata pengguna tampil memberi peringatan kepada pemilik perniagaan untuk tidak bersikap rasis sebaliknya mengalu-alukan kedatangan pelanggan dari pelbagai bangsa dan agama.

Baca juga: Dulu jenama kasut sekolah paling popular, kini Bata di Indonesia umum gulung tikar kerana masalah ini