Restoran nasi kandar di ibu kota tular lepas pekerja dirakam tengah ludah makanan pelanggan

Oleh KIM SYAZIE

Dua cawangan restoran nasi kandar di tengah-tengah ibu kota tular selepas tersebar video yang menunjukkan salah seorang pekerjanya meludah ketika membungkus makanan pelanggan.

Video tular itu dikaitkan dengan dua buah restoran di Publika dan Desa Sri Hartamas, Kuala Lumpur.

Kedua-dua restoran berkenaan difahamkan telah pun diambil tindakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sebaik sahaja video tersebut mendapat perhatian pihak berkuasa.

DBKL dalam hantaran di Facebook berkata, semakan mendapati dua premis itu telah beroperasi secara sah dan berlesen.

Bagaimanapun selain kesalahan meludah makanan, pekerja-pekerja di restoran terbabit telah dikompaun dengan pelbagai kesalahan lain seperti tidak memakai penutup kepala dan tidak mempunyai suntikan typhoid.

Dilaporkan, dua kompaun dikeluarkan kepada restoran di Publika kerana tidak memakai penutup kepala dan apron, serta beberapa pekerja tidak mendapatkan suntikan typhoid.

“Sementara itu, bagi restoran di Desa Sri Hartamas, empat kompaun dikeluarkan atas kesalahan tidak memakai penutup kepala dan, serta sinki dapur yang tidak memasang alat perangkap minyak.

“Kesalahan seterusnya lantai dapur yang didapati kotor dan berminyak dan bahan tepung yang diletakkan terus di atas lantai,” katanya DBKL.

Tegas DBKL, pihaknya komited memastikan keselamatan dan kebersihan premis makanan di Kuala Lumpur demi kesejahteraan pengguna.

Jelas kenyataan itu, operasi pemeriksaan premis sentiasa diadakan dari semasa ke semasa.

Baca juga: Peniaga kopi buat eksperimen, tunjuk beza ais hancur dengan tiub – “Patut air cepat habis!”