Keruntuhan sebuah masjid di Palestin yang dibina atas hasil sumbangan rakyat Malaysia telah menjadi saksi kekejaman tentera Israel.
Masjid Muhammad Al-Amin yang terletak di Semenanjung Gaza itu dilaporkan musnah akibat daripada serangan bom oleh tentera Israel pada Sabtu lalu.
Hasil sumbangan daripada rakyat Malaysia, masjid itu difahamkan telah dibina pada tahun 2013 oleh badan bukan kerajaan (NGO), Muslim Care Malaysia (MCM).
Sangat menyayat hati, perkara itu dimaklumkan oleh MCM menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di laman media sosial Facebook milik badan berkenaan.
MCM menerusi kenyataan itu memaklumkan bahawa masjid yang dibina 10 tahun lalu itu musnah sepenuhnya dan tidak dapat lagi dimanfaatkan oleh umat Islam di sana.
Badan bukan kerajaan tersebut turut meluahkan rasa kecewa apabila masjid yang dibiayai oleh rakyat Malaysia itu hancur disebabkan ‘serangan bom Zionis Israel’.
Dalam catatan Facebook, Muslim Care Malaysia Society berkata, Masjid Muhammad Al Amin dibina pada 2013 dengan pembiayaan yang dikutip daripada orang ramai.
“Retak hati berkeping-keping melihat masjid yang tersergam indah hasil dana rakyat Malaysia pecah berderai kesan serangan bom oleh Zionis Israel.
“Pada penghujung tahun 2013, Muslim Care Malaysia mencipta sejarah apabila berjaya membina masjid yang luas dan cantik untuk rakyat Palestin.
“Malangnya, di sebalik semua usaha dan sumbangan rakyat Malaysia, Masjid Muhammad Al Amin diratakan sepenuhnya dan tidak boleh digunakan lagi,” katanya.
Langsung tidak memudarkan semangat jihad, badan itu akan menyalurkan lebih banyak bantuan sebagai sokongan untuk menyokong perjuangan rakyat Palestin.
“Semangat jihad orang Islam tidak akan pernah pudar. Sekuat mana semangat saudara kita di Palestin, begitu juga teguhnya hati kita semua untuk terus bersatu.” Ulasnya.
Pada awal pagi Sabtu lalu, sayap tentera Hamas iaitu Briged Al Qassam, melakukan serangan dengan menyasarkan penempatan Israel yang berhampiran dengan Gaza.
Melancarkan lebih 5,000 roket, mereka kemudian disertai oleh pejuang Jihad Islam dan kumpulan pejuang Palestin lain untuk menyusup masuk ke kawasan sempadan.
Serangan dinamakan Hamas sebagai ‘Banjir Al Aqsa’ ini membuahkan hasil apabila mereka berjaya bertempur dengan tentera dan menguasai penempatan Israel di sempadan.
Sebagai tindak balas, tentera Israel kemudian melancarkan serangan balas iaitu ‘Operasi Pedang Besi’ terhadap pejuang Hamas.
Baca juga: Bakal kahwini Putera Mateen, ini lapan fakta tentang Dayang Anisha! Keluarganya bukan calang-calang