Malaysia Dateline

Retifikasi ICERD: Kalau bukan kamu, siapa?

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah diminta mendedahkan siapakah menteri yang bertanggungjawab meratifikasi Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Diskriminasi Perkauman (ICERD) jika bukan beliau.

Ini kerana, ketika menjadi Menteri Luar, Saifudin adalah menteri yang bercakap mengenai ICERD bukan pihak lain.

Veteran DAP, Lim Kit Siang (gambar) berkata, Menteri perlu jujur, boleh dipercayai, dan mempunyai integriti.

“DAP telah dimomokkan sebagai anti-Melayu, anti-Islam, dan anti-Raja akibat daripada cadangan untuk meratifikasi ICERD sedangkan perkara ini tidak ada kaitan sama sekali dengan DAP.

“Saifuddin Abdullah yang merupakan Menteri Luar Negeri ketika itu, dalam menjawab kepada Anthony Loke, mengatakan yang bukanlah menteri yang bertanggungjawab dalam isu ratifikasi ICERD.

“Adakah Saifuddin bersedia untuk mendedahkan siapakah menteri yang bertanggungjawab ke atas ICERD ini atau adakah beliau lebih rela melihat “defisiti kepercayaan” terhadap beliau terus meningkat?” soal ahli Parlimen Iskandar Puteri itu.

Kit Siang berkata demikian dalam kenyataan medianya yang mengimbas kembali lima pengajaran yang patut diambil Pakatan Harapan (PH) dari kerajaannya yang jatuh sebelum ini.

Selain isu ICERD yang menjadi punca serangan terhadap PH terutama DAP, Kit Siang juga memberikan ingatan agar perdana menteri dan menteri kabinet PH perlu bekerja sebagai Pakatan Harapan bukan pihak-pihak lain.

“Sepanjang 22 bulan PH mentadbir, Perdana Menteri semasa itu masih bertindak dalam corak fikiran dan gaya kerajaan Barisan Nasional, sedangkan sepatutnya perlu ada gaya, cara fikiran, dan rangka kerja yang baharu,” kata beliau yang merupakan veteran ahli parlimen DAP yang tidak berada dalam kerajaan.

Kritikan itu dipercayai ditujukan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad yang merupakan PM semasa kerajaan PH.

Dalam kenyataan itu, Kit Siang juga berkata, PH perlu menginsafi pengajaran daripada 22 bulan peluang mentadbir yang telah dipendekkan melalui konspirasi Langkah Sheraton yang telah membawa masuk kerajaan pintu belakang yang tidak demokratik dan tidak sah.

Antaranya, PH perlu bersikap serius dalam mengotakan janji pilihan raya.

Katanya, sejak daripada awal penubuhan kerajaan Pakatan Harapan lagi, Perdana Menteri ketika itu sendiri, Tun Dr Mahathir yang telah mengatakan bahawa manifesto ini bukanlah satu kitab suci.

“Hasilnya, sekalipun jika kita berjaya mengotakan 80 ke 90 peratus daripada janji-janji pilihan raya Pakatan Harapan, kerosakan telah pun berlaku.

“Perkara ini bertambah buruk apabila mandat lima tahun Pakatan Harapan dirampas secara haram melalui konspirasi Langkah Sheraton,” katanya.

Kerajaan juga, katanya, perlu pebih sedar mengenai kuasa penipuan, fitnah, berita palsu, dan maklumat palsu.

“Saya telah dituduh sebagai orang yang mengatakan yang seseorang perlu belajar tulisan Jawi untuk menjadi rakyat Malaysia dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng telah dituduh sebagai mengatakan yang beliau bukan seorang Cina sedangkan perkara ini hanyalah pertuduhan palsu semata-mata,” katanya.

Parti komponen Pakatan Harapan tidak patut masuk campur hal ehwal parti komponen lain, katanya.