Retorik perkauman Umno hanya untuk kekal berkuasa

Retorik perkauman yang dimainkan pemimpin Umno-BN hanyalah untuk menjaga kedudukan kuasa parti pemerintah itu, tegas DAP.

Retorik perkauman Umno hanya untuk kekal berkuasa

Retorik perkauman yang dimainkan pemimpin Umno-BN hanyalah untuk menjaga kedudukan kuasa parti pemerintah itu, tegas DAP.“Soal bangsa dan agama akan sentiasa menjadi isu utama di negara kita, sama seperti penjagaan kesihatan dan pendidikan, dan isu-isu seperti yang sering digunakan untuk memecah belahkan masyarakat di negara ini,” kata Penolong Setiausaha Publisiti DAP Wanita, Syerleena Abdul Rashid.

Menurut beliau, dalam negara yang mengamalkan sistem demokrasi terdapat cara lain untuk mempertahankan maruah kaum, antaranya dengan mewujudkan ruang diskusi dan berhujah.

Syerleena Abdul RashidSyerleena mengulas kenyataan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mempertahankan tindakan segerombolan ahli Pemuda Umno Wilayah Persekutuan berarak dan berdemonstrasi di hadapan ibu pejabat DAP di Kuala Lumpur 12 Julai lalu.

Demonstrasi diadakan bagi membantah tindakan Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming yang didakwa memuat naik lakaran kartun enghina Aidilfitri di laman facebook beliau.

Nga bagaimanapun menafikan bertanggung jawab atas kejadian tersebut dan membuat laporan polis semalam kerana mendakwa difitnah.

Ismail ketika mengulas demonstrasi Pemuda Umno itu menyifatkan tindakan tersebut wajar untuk mempertahankan integriti dan juga maruah orang Melayu yang rasa terhina.

“Kita sering dengar bahawa pemimpin harus memimpin melalui teladan. Pemimpin boleh mempengaruhi sikap dan fikiran orang lain. Mereka memberi kekuatan dan inspirasi kepada orang di sekeliling mereka dengan menawarkan harapan dan rasa kebergunaan.

“Namun sikap Ismail Sabri dan rakan-rakannya hanya akan mendorong kita untuk lebih terjerumus ke dalam kancah keruntuhan, penipuan dan kebencian,” ujar Syerleena.

Dihubungi Roketkini, Syerleena berkata Umno selama ini telah berulang kali menggunakan sentimen perkauman demi kepentingan politik.

“Sehinggakan skandal kewangan 1MDB pun cuba diputarbelit menjadi isu perkauman.

“Sedangkan skandal 1MDB turut melibatkan wang dan dana simpanan orang Melayu di Tabung Haji dan LTAT. Pemuda Umno tidak pula membela nasib orang Melayu dalam hal tersebut,” katanya.

Syerleena menasihati Ismail Sabri supaya menunjukkan contoh yang lebih baik kepada anak-anak buahnya, apatah lagi sebagai menteri yang bertanggungjawab ke kebajikan seluruh rakyat Malaysia, bukan kaum tertentu sahaja.

“Beliau tidak boleh sekadar mendiamkan sikap tidak bermoral anggota partinya, yang bertentangan dengan nilai-nilai kenegaraan, dan aspirasi rakyat yang mahukan kehidupan yang makmur dan sejahtera,” ujarnya.