Malaysia Dateline

Tariq Ismail PPBM

Retorik politik Malaysia hancurkan moral belia, kata MPT Bersatu

Retorik politik Malaysia hari ini yang meracuni fikiran generasi muda untuk bertindak kurang ajar dan tidak beradab, kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu, Tariq Ismail.

“Jika kita ketepikan retorik politik sebentar, dan fikir dengan mendalam, kita harus akui bahawa retorik politik di Malaysia sekarang inilah yang meracuni fikiran generasi muda kita.

“Berapa minggu sebelum ini kita mendengar cemuhan Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Zahid Hamidi) ke atas mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir hanya kerana berdarah campuran.

“Dan siapa antara kita yang tidak kenal Jamal (Datuk Seri Jamal Md Yunos), yang perangai samsengnya sering mencetuskan keganasan di kalangan rakyat sehingga ada yang cedera.

“Siapa yang boleh lupakan juga demonstrasi jalanan yang seringkali bertukar menjadi ganas sehingga mencederakan orangramai dan hartabenda awam,’ soalnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas insiden baling kerusi, botol, kasut ke arah pentas Dr Mahathir berucap yang berlaku di program Nothing To Hide 2.0 pada Ahad, yang membawa kepada penahanan reman tiga suspek yang dipercayai terlibat dengan sekumpulan belia lain yang hadir di program sama.

“Saya pun turut merasa marah dan bersedih atas perbuatan biadap dan kurang ajar belia-belia kita.

“Naluri mendesak supaya saya turut serta dengan suara-suara di luar sana yang saling menuding jari ke puak politik bertentangan.

“Tidak kurang juga suara-suara yang menghentam belia-belia tersebut di atas perbuatan mereka.

“Tetapi, sejenak saya berfikir, siapakah sebenarnya yang bersalah?

“Kebenarannya adalah kita sebagai masyarakat telah menjadi begitu lali dengan politik kebencian sehingga keganasan dan cemuhan serta cacian sudah menjadi sebati dengan jiwa kita.

 

“Sehingga kita lupakan bahawa politik kebencian dan tidak matang ini, mendidik anak-anak kita agar tidak mempedulikan yang Bathil dan yang Haq.

“Anak-anak kita membesar di dalam suasana di mana perbezaan di cemuh, perbezaan pendapat di caci, dan perbezaan agama dan bangsa bezanya antara Syurga dan Neraka.

“Anak-anak kita membesar di dalam suasana di mana yang tua dan matang sibuk berpolitik atau mencari nafkah hinggakan tiada masa mendengar permasaalahan belia-belia kini,” terangnya.

Menurut Ketua Bahagian Bersatu Sri Gading ini lagi, perkara itu menjadi punca golongan belia kehilangan pedoman moral dan tidak diberikan tempat dalam kelompok masyarakat.

“Seharusnya masyarakat mendengar keluhan mereka dan menunjukkan jalan yang benar kepada anak-anak ini, lalu membimbing mereka agar kesilapan dan kekhilafan yang lalu tidak berulang lagi.

“Sepatutnya, masyarakat memeras otak memikirkan bagaimana hendak membantu belia-belia ini melalui ranjau hidup di dalam suasana mencabar kini.

“Tetapi masyarakat lalai sehingga kejadian seperti ini menimbulkan tanda tanya, apakah salah kita dan di mana hilangnya peradaban Melayu kini.

“Kita mesti mengorak langkah yang lebih positif dan mulakan dengan tidak mempolitikkan masa depan anak-anak kita.

“Ini bermakna semua pihak bekerjasama menjana solusi yang mantap untuk masa depan anak-anak kita dari segi moral dan jasmani.

“Jadikan kejadian terbaru ini sebagai satu pembelajaran, di mana kegagalan kita hampir membawa kepada kehancuran sebuah peradaban. Keadaan masih belum terlambat,” terangnya.