Retreat PH Kelantan mahu isu sempadan diselesaikan

Retreat PH Kelantan mahu isu sempadan diselesaikan

Isu-isu sempadan khususnya berkaitan penyeludupan beras dan keperluan harian lain perlu diberi perhatian bagi manfaat penduduk terlibat dan mengurangkan masalah keselamatan.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan Datuk Husam Musa berkata hanya kerajaan pusat yang mampu membawa penyelesaian hal tersebut kerana ia melibatkan kuota import dan permit (AP).

Datuk Husam Musa

“Kita mahu penduduk yang terlibat tidak tertekan kerana terpaksa mengendalikan perniagaan yang tidak dihalalkan di sisi undang-undang negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutupan Retreat PH Kelantan di Pasir Puteh pada Ahad.

Operator kecil-kecilan di sempadan ini perlu dilesenkan secara sah untuk kebaikan mereka dan kerajaan sendiri.

“Sekiranya aktiviti ini dihalalkan tentulah kerajaan sendiri akan mendapat manfaat yang besar dari caj pelesenan dan cukai.

“Bagi pihak orang ramai pula tentu mereka senang hati kerana dapat beroperasi secara sah dan mengurangkan risiko keselamatan,” katanya.

Menurut Husam peserta retreat juga mahu pelaksanaan projek ECRL dan menaik taraf lapangan terbang Sultan Ismail Petra kepada status antarabangsa dipercepatkan.

“Projek-projek pengangkutan utama ini akan melonjakkan aktiviti ekonomi rakyat Kelantan.

“Negeri ini memiliki pelbagai aset tarikan pelancongan, namun tersekat dengan masalah pengangkutan yang tidak efisien,” katanya.

Diminta mengulas retreat PH itu Husam berkata beliau bersyukur kerana semua pemimpin-pemimpin parti yang berkumpul menunjukkan semangat kesatuan yang tinggi.

“Semua bersetuju untuk mengutamakan perpaduan dan mengelakkan sebarang bentuk kenyataan yang tidak menyenangkan pihak lain,” katanya.

Menurutnya semua pemimpin-pemimpin parti yang menghadiri retreat itu menolak sebarang bentuk kenyataan yang boleh membawa perpecahan.

“Bagi kita, tidak kira siapa jika mereka melakukan tindakan yang membawa perpecahan, tindakan harus diambil kepada individu berkenaan,” katanya.

Retreat sehari PH yang julung kali diadakan di peringkat negeri Kelantan itu dihadiri lebih 150 orang pimpinan AMANAH, PPBM, PKR dan DAP peringkat negeri Kelantan.