Malaysia Dateline

‘Review pasal nasi lemak pun terus dapat beribu-ribu pengikut’ – Dah jadi trend layan mat saleh macam raja

Sudah jadi trend apabila sesetengah rakyat Malaysia terutama orang Melayu dilihat obses dengan orang kulit putih atau dipanggil ‘mat saleh’ walaupun review tentang nasi lemak.

Terbaharu, apabila seorang pengembara ‘mat saleh’ yang juga Tiktoker memiliki kelab peminat temu mesra (meet and greet) walaupun kurang seminggu menjejakkan kaki di tanah air ini.

Pengguna Twitter, @eiffajamalulail berpendapat bahawa keadaan itu berlaku kerana ramai rakyat Malaysia obses mat saleh.

Hal tersebut turut diakui warganet lain yang menganggap mereka seolah-olah mendapat layanan istimewa macam raja sehingga mengutip ribuan pengikut.

“Dah jadi trend sekarang mat saleh datang Malaysia, review makanan terus jadi popular, buat duit dan tak nak balik.

“Orang kita layan dia macam raja tapi kalau orang tempatan yang buat, tiada siapa kisah,” antara komen warga maya.

Bahkan, bukan sahaja orang kulit putih, warga Arab dan Korea juga dilihat mendapat perhatian dan dipuja oleh sebahagian rakyat Malaysia khususnya masyarakat Melayu.

“Mat Saleh terus jadi artis. Mat Arab boleh buka kedai kunafe viral. Mat Korea tak payah ceritalah, sampai orang Melayu kita sendiri nak jadi orang Korea. Korean tu macam beauty standard kononnya.

“Orang kita? Tetap susah payah jadi rider grab. Salah siapa? Salah kita yang agungkan pendatang. Minda masih dijajah,” kata seorang pengguna Facebook.

Ada turut berpendapat sesetengah orang Melayu sudah sampai tahap menyimpan angan-angan untuk berkahwin dengan mat saleh.

“Mat saleh ni kalau di negara mereka, biasa-biasa saja muka dia, mungkin dalam sekitar 5/10 tapi sampai Malaysia, wow macam artis ya, terus 10/10.

“Semua nak kahwin dengan mat saleh. Mimpi-mimpi nak mualafkan dia. Diri sendiri pun ke ‘laut’, nak sibuk jadi imam kepada mualaf,” kecam seorang netizen.

Walau bagaimanapun, ada yang menasihati untuk menghargai kehadiran mereka dan bukannya memuja lantaran warga asing yang juga pempengaruh media sosial itu telah memperkenal budaya negara ini.

“Apa salahnya pun. Mat saleh datang puji negara kita. Perkenalkan budaya Malaysia. Belanjakan duit untuk ekonomi negara. Kita hargailah apa yang mereka buat bukan memuja pun,” kata Nolan Mann.

Baca juga Ejen Mossad ke? – Ini sangat memalukan geng ‘hailak’

Baca juga Tak pernah pakai baju logo mana-mana parti, Kazim Elias akui tiada tauliah berceramah sejak 1995 di Pulau Pinang