Malaysia Dateline

Revolusi 9 Mei bagi rakyat Malaysia

Tidak keterlaluan untuk dikatakan bahawa buku “Revolusi Tanpa Darah” merupakan buku seumpamanya dalam bahasa Melayu (sehingga ulasan ini ditulis) yang membicarakan dengan agak tuntas mengenai tarikh keramat 9 Mei 2018 ketika kerajaan Barisan Nasional tumbang di bumi Malaysia pada Pilihan Raya Umum ke14.

Sering saya ke kedai untuk mencari buku yang berkaitan dengan Revolusi 9 Mei tetapi tidak ditemui buku yang ditulis dalam bahasa Melayu. Banyak buku yang dihasilkan dalam bahasa Inggeris yang dijual di pasaran.

Tidak dinafikan terdapat banyak artikel atau rencana yang telah dihasilkan tetapi tidak terdapat buku dalam bahasa Melayu yang membicarakan mengenai Revolusi 9 Mei.

Buku ini susunan bekas Ketua Pengarang Harkah, Ahmad Lutfi Othman ini menampilkan keunikannya yang tersendiri: Ia terbahagikan kepada tiga bahagian, yang pertama temubual dengan tokoh akademik, kedua, pengalaman Lutfi sendiri dan ketiga, penulis undangan yang dijemput untuk menulis pandangan mereka pasca Revolusi 9 Mei.

“Revolusi Tanda Darah” mempersembahka satu realiti bahawa sesebuah kerajaan yang memerintah selama lebih setengah abad boleh dijatuhkan dengan satu pangkahan.

Ia tidak perlu mengeluarkan setitik darah walaupun terdapat kesan dakwat kepada ibu jari.

Buku ini mempunyai mempunyai tiga bab yang membincangkan mengenai isu-isu penting senario pasca Revolusi 9 Mei.

Dalam bab pertama, Lutfi telah menemui bual beberapa ahli akademik. Antara tetamu yang ditembual ialah Dr Syed Husin Ali,Dr Muhamad Nadzri Mohamed Noor (UKM), Dr Mazlan Ali (UTM), Dr Mustafa Kamal Anuar, Dr Mohd Agus Yusof dan Dr Abdul Aziz Bari, di samping beberapa tetamu lain seperti Dato’ Phahrolrazi Mohd Zawawi (Timbalan Pengerusi Parti Amanah Kedah) dan aktivis muda Mohd Hasbie Muda (Ketua Pemuda Pakatan Harapan Terengganu) Ia membicarakan pandangan akademik mengenai peralihan kuasa Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, perkara berkaitan dengan Pas, sistem korup atau kotor yang perlu dibersihkan, kebebasan media yang harus menjadi asset kepada negara dan kekuatan rakyat dalam menukar kerajaan.

Dalam bab kedua, Lutfi memerihalkan dengan sendiri pengalamannya sebagai seorang pengarang dan wartawan juga penulis menelusuri liku-liku yang beliau dan alami dalam era Revolusi 9 Mei.

Penulisan adalah tanda aras kepada ketamadunan bangsa. Bahasa merupakan alat kepada pengarang seperti mana warna, berus dan kanvas kepada pelukis. Tanpapenguasaan terhadap alat, sesiapa pun tidak mungkin menjadi ahli ataupun mahir di dalam bidangnya.

Seorang pengarang atau penulis merupakan pembaca. Di samping membaca buku, beliau juga adalah pembaca alam.

Inilah dia yang dilakukan oleh Lutfi. Kata-kata yang terungkap “PRU14 menyimpan hikayat yang begitu besar. Dinasti Umno-BN yang nampaknya tidak terkalahkan ranap dalam semalaman.” Inilah kata-kata yang merantai seluruh pengalaman Lutfi yang menukilkannya dalam buku ini.

“Mengingati nyamannya kemenangan 10 Mei bermakna mengenang azab derita pejuang terdahulu, pengorbanan aktivis yang tidak pernah kenal penat lelah, harapan setinggi gunung golongan marhaen dan tertindas,” kata
Lutfi.

Kata-kata di atas adalah kunci kepada pengalamannya yang mengisahkan evolusi dalam “Mahu terus menikmati kenangan indah pagi 10 Mei, ‘Warna-warni sebelum dan selepas PRU14’, ‘24 jam sebelum Umno tumbang (Bahagian 1 dan 2)’, ‘Lorong-lorong sunyi-gelap media bebas bertukar ceria-meriah, ‘Usah cemari kelicinan proses peralihan kuasa’, ‘Laehnya Umno untuk beri saingan kepada PH’ dan ‘Apa salahnya Umno-Pas berpakat.’

Lutfi dalam pengantar buku ini telah menyebut “Saya lebih mengharapkan agar Pakatan Harapan (PH) yang jauh berbeda dengan BN, Bersatu yang berlainan dengan Umno, juga idealisme reformasi yang mekar dalam PKR-DAP-Amanah…” kata-kata ini dapat memberikan harapan kepada rakyat Malaysia semoga ia menterjemahkan apa yang “baharu” dalam Malaysia Baharu.

Pengalaman Lutfi semasa era regim BN itu banyak membantu pembaca untuk memahami sejauh manakah kebebasan media pada masa itu dan membuat perbandingan dengan masa sekarang.

Buku ini memang unik kerana ia memuat artikel barisan penulis kritikal dan sarjana seperti Dr Faisal Tehrani, Fathi Aris Omar, Lim Hong Siang, Dr Muhaimim Sulam, Zin Mahmud, Ustaz Zolkharnain Abidin, Shahbudin Husin, Hanipa Maidin, Hafiz Zainuddin, Arif Atan, Mohd Sayuti Omar, Dr Janet Steele, Rossem, Dinsman, Haris Zalkapli, Ali Bukhari Amir dan penulis sendiri.

Ia memaparkan mozaik pengalaman, idealisme, pandangan dunia, sudut pandangan dan falsafah setiap penulis dalam karya yang mereka hasilkan.

Keunikan yang terserlah daripada kepelbagaian pandangan yang mencirikan konteks pasca moden dengan tidak membekukan fikiran kepada naratif mutlak atau tunggal.

Hasil penulisan barisan penulis kritikal ini memperlihatkan sudut pandangan yang mencirikan konsep ‘Malaysia Baharu”.

Buku `Revolusi Tanpa Darah’ telah digarap dengan baik oleh penulisnya kerana beliau sendiri adalah merupakan seorang yang ahli dan berwibawa dalam bidang penulisan dan kewartawan. Buku ini dijangka dapat memberikan maklumat yang berguna dan perangsang kepada pembaca umumnya untuk memikirkan, berusaha dan bertindak ke arah usaha memartabatkan kesejahteraan dan kedaulatan rakyat, politik yang lebih berakhlaq, berilmu, terbuka seterusnya menyepadukan antara bangsa, kaum dan etnik di negara ini kerana rakyat adalah tulang belakang kepada kemakmuran negara ini.

Jika para pembaca ingin mengetahui konsep Malaysia Baharu (walaupun secara kasarnya) sila beli dan telaahlah buku ini.

 

Ismail Hashim Yahya adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel)