Malaysia Dateline

Rezab antarabangsa BNM susut: Pemuda Bersatu N.Sembilan mahu polis siasat Najib

Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan  mahu polis  menjalankan siasatan terhadap dakwaan  Tun Dr Mahathir Mohamad  berhubung kehilangan rezab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) dari USD140 bilion pada tahun 2013 kepada USD 101 billion pada 2017.

Laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah  Nilai semalam, oleh Biro Pemuda Bersatu Negeri Sembilan Muhamad Bazli Abdul Aziz dan turut serta Timbalan Ketua Pemuda Mohd Azim Mustapa;Ketua Penerangan Pemuda Airul Shah Mohamad dan; Biro Media Pemuda Megat Muhammad Faris.

Muhammad Bazli yang juga Exco Pemuda Bersatu Pusat berkata, Pemuda Bersatu Negeri Sembilan memandang serius mengenai rezab antarabangsan BNM kerana boleh menggugat ekonomi negara.

“Semakan yang kami lakukan di laman sesawang Bank Negara mendapati bahawa dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad itu ada kebenarannya dan bukan suatu tuduhan yang melulu serta tidak berasas.

“Dengan jumlah yang terlibat kali ini berkali ganda lebih tinggi dari tahun 90-an maka seharusnya dilakukan suatu siasatan yang segera, menyeluruh, telus, tanpa gentar serta pilih kasih bagi memastikan tidak berlaku sebarang salah gunakuasa mahupun penyelewengan oleh sesiapa atau mana mana pihak yang terlibat di dalam pengurusan rezab tersebut,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Beliau mengulas mengenai dakwaan dibuat Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad pada 10 Disember lalu, yang mendakwa BNM kerugian AS$39.6 bilion (RM161.6 bilion) dalam rizabnya antara 2013 hingga 2015.

Dalam satu klip video, Dr Mahathir berkata, jumlah itu lebih banyak daripada kerugian ditanggung BNM dalam urus niaga mata wang asing (forex) ketika beliau menjadi perdana menteri.

Bagaimanapun, katanya, tiada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan untuk menyiasat kerugian antara 2013 hingga 2015 itu yang berlaku di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

Dalam sebuah forum yang disiarkan secara langsung di Facebook pula beliau berkata, dakwaannya boleh disahkan mereka yang membaca laporan BNM.

Menurut Muhamad Bazli daripada semakan yang dibuat oleh Pemuda Bersatu Negeri Sembilan, mendapati semenjak tahun 2009, jumlah tertinggi rezab antarabangsa BNM yang pernah di catatkan ialah pada 31 Januari 2013. Iaitu pada USD140.2 billion atau pun bersamaan RM588.8 billion.

“Namun, jumlah tersebut telah berkurangan dengan begitu drastik dan ketara kepada cuma USD101.9 billion atau RM427.98 billion setakat 30 November 2017. Pengurangan sebanyak RM160.86 billion.

“Dan jumlah rezab yang lesap tersebut adalah tujuh kali ganda lebih tinggi berbanding USD5.7 billion atau RM23.9 billion kerugian transaksi Forex pada awal tahun 90 an.

“Iaitu angka rasmi kerugian seperti yang di laporkan oleh BNM kepada kabinet pada tahun 1993. Laporan serta angka yang telah di audit oleh Ketua Audit Negara ketika itu. Juga angka yang sama yang di bentangkan di parlimen oleh Datuk Seri  Najib selaku Menteri Kewangan di Parlimen pada tahun 2012 ketika menjawab soalan pembangkang.

“Selain dari itu Pengeurangan Ketara rezab tersebut amat bercanggah sekali dengan beberapa kenyataan Perdana Menteri yang menyatakan keadaan ekonomi negara berada di dalam keadaan terbaik dan mampan,” ujarnya.

Beliau mendakwa, terdapat pihak yang mengatakan bahawa rezab tersebut telah di gunakan bagi mempertahankan matawang ringgit daripada terus merudum.

“Iaitu ketika berita mengenai Perdana Menteri menerima derma berjumlah RM2.6 billion ke dalam akaun peribadi beliau, pertama kali di dedahkan oleh akhbar The Wall Street Journal pada bulan Julai 2015 dan mula tersebar ke serata dunia.

“Ia menjadi antara penyebab terhakisnya keyakinan masyarakat antarabangsa kepada negara dan antara punca utama kejatuhan ringgit.

“Persoalannya, jika benar BNM telah mengunakan rezab negara bagi mempertahankan matawang ringgit ketika itu, bagaimanakah tindakan tersebut berbeza berbanding kerugian di dalam transaksi Forex pada awal tahun 90an itu?” soalnya.