Malaysia Dateline

RFID dan lebuh raya bebas tol

Sejak pelaksanaan Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) yang bermula pada malam Sabtu minggu lepas, media sosial dipenuhi dengan pelbagai rungutan bahkan jika anda melihat Facebook Group RFID Malaysia, begitu banyak aduan dilontarkan pengguna baharu sehingga terpaksa ditutup.

Sebelum ini PLUS Malaysia menjelaskan lorong SmartTAG dan Touch n Go masih ada walaupun pelaksanaan RFID akan mula diperkenalkan secara berperingkat.

Bagaimanapun kesesakan teruk berlaku di plaza tol Bandar Seri Putra susulan lorong SmartTAG diganti dengan RFID. Manakala di plaza tol Rawang Selatan pula netizen mendakwa hanya tinggal dua lorong Touch n Go.

Bahkan situasi trafik sesak turut berlaku di Sungai Besi sehingga 10km menghala ke Kuala Lumpur. Kegagalan mengimbas kod pengguna. menyebabkan pemandu terpaksa mengundurkan kenderaan mereka diikuti kenderaan di belakang secara berjemaah.

Ada pengguna yang berkongsi pengalamannya, ketika memasuki lorong tol RFID tiada masalah namun sebaliknya terjadi apabila palang tidak terbuka ketika keluar tol.

Di samping itu menerusi perkongsian di Facebook Group RFID Malaysia beberapa pengguna berkongsi pengalaman baki ditolak sebanyak dua kali akibat kegagalan RFID.

Ini berlaku apabila palang RFID tidak terbuka dan pemandu memilih untuk menukar ke lorong SmartTAG atau Touch n Go.PLUS dan syarikat Touch N Go perlu segera menyelesaikan semua masalah membabitkan penggunaan Identifikasi Frekuensi Radio.

Kerajaan sepatut tidak memikirkan untuk menggantikan sistem Touch n Go dan smart tag dengan RFID tetapi harus menggerakakan usaha menghapuskan tol di semua lebuh raya negara ini. Ini seharusnya matlama utama Keluarga Malaysia. Kerajaan yang menjadi hamba kepada rakyat.

Perkara ini menjadi manifesto Pakatan Harapan tetapi berhadapan dengan masalah dan realiti kesukaran menghapuskan secara mendadak dan dengan Langkah Sheraton semua impian terus tinggal harapan.

Bahkan Kementerian Kewangan semasa itu berpendapat penghapusan kutipan tol boleh dilaksanakan PH namun ia perlu dilakukan secara berperingkat dengan mengambil kira kemampuan kewangan negara.

Jika kerajaan Malaysia menyusun strategi secara berperingkat untuk mencapai sasaran tentulah ditemui jalan penyelesaiannya ke arah lebuh raya bebas tol. Hendak seribu daya tidak hendak seribu dalih.

Bahkan mutu lebuh raya harus dipertingkatkan terutamanya kawasan dilanda banjir. Apa erti rakyat membawa cukai tetapi tidak digunakan untuk membaiki lebuh raya.

Ke mananya pergi wang cukai jalan yang dibayar pengguna kerana tiada ketelusan daripada kementerian.Sepatutnya satu perbentangan harus dikemukakan di Dewan Rakyat untuk rakyat mengetahui peruntukan wang cukai jalan yang dibayar rakyat pada setiap tahun itu.

Pengenalan RFID dikira sebagai ingin meneruskan mengenakan kos kepada rakyat. Bayangkan rakyat sudah terbeban dengan pandemik dan musibah banjir tetiba terpaksa menukarkan sistem pembayaran tol dengan RFID menggunakan Touch & Go melalui E-Wallet.

Kalau tidak silap saya usaha arwah Perdana Menteri kedua Malaysia Tun Abdul Razak Dato’ Hussein yang merakyatkan sumber ekonomi untuk membangunkan prasarana infrastruktur daripada rakyat untuk rakyat seolah-olah dilupakan.

Di bawah pemerintahan Tun Razak Jabatan Kerja Raya (JKR) menjadi agensi dalam program pembinaan sistem jalan raya yang menghubungkan seluruh negara secara percuma. Fungsi utama JKR adalah membina infrastruktur negara selepas merdeka. Kebanyakan adalah pembinaan dan penyeliaan sistem jalan raya di seluruh Malaysia.

Pada tahun 1967 satu sejarah telah dicipta oleh JKR. Pembinaan projek lebuhraya gergasi sepanjang 123KM menembusi hutan banat antara Perak ke Kelantan telah dirancang hanya menggunakan kepakaran tempatan dengan kos minima dari wang dana kerajaan sendiri.

Projek tersebut dinamakan Jalan Raya Timur Barat (JLTB) bernilai RM205 Juta. Ia berrjaya disiapkan pada tahun 1982. Namun kelewatan penyiapan sehingga memakan masa 12 tahun akibat ancaman dari pengganas Komunis pada masa itu.

Pada tahun 1977 Perdana Menteri ketiga, Tun Hussien Onn meneruskan legasi arwah Tun Razak untuk membina rangkaian percuma Sistem Lebuh Raya yang menghubungkan Utara hingga ke Selatan Semenanjung Malaysia. Projek ini sudah lama dalam perancangan Tun Razak dahulu namun mengalami kelewatan akibat masalah ancaman getir Komunis di negeri Perak masa itu.

Projek dinamakan PLUS – Projek Lebuhraya Utara Selatan dilaksanakan pada tahun 1977. Satu Konsortium Nasional ditubuhkan iaitu Lembaga LebuhRaya Malaysia (LLM) untuk menjalankan perancangan dan pembinaan PLUS ini.

Antara 1980 sehingga 1985, LLM berjaya menyiapkan beberapa blok fasa pembinaan lebuhraya dengan jarak 366KM iaitu 41% daripada jumlah keseluruhan PLUS iaitu 823KM yang dirancang menggunakan dana kerajaan sebanyak RM3.2 bilion pada masa itu, Pada masa itu semua kos ditanggung kerajaan tanpa penglibatan pihak swasta.

Matlamat projek lebuh raya bebas tol digantikan dengan dasar pengswastaan yang diperkenalkan semasa pemerintahan Tun Dr Mahahir Mohamad dengan pegangan kerajaan dan LLM di dalam PLUS dijual kepada syarikat swasta UEM.

 

Kolumnis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeranm Universiti Selangor (Unisel)