Malaysia Dateline

RHB Research jangka wang M3, pinjaman berkembang 5.5 peratus, 5.2 peratus pada 2019

RHB Research Institute Sdn Bhd menjangka wang secara luas Malaysia (M3) dan pinjaman meningkat dengan kukuh masing-masing pada 5.5 peratus dan 5.2 peratus pada 2019, daripada anggaran 5.2 peratus dan lima peratus pada 2018.

Firma penyelidikan itu dalam satu nota hari ini berkata unjuran tinggi itu adalah berdasarkan kepada pertumbuhan M3 lapan peratus tahun ke tahun pada Oktober, yang meningkat pantas dalam masa lima tahun daripada semakan semula 7.2 peratus pada September, disokong oleh permintaan tinggi terhadap dana daripada sektor awam.

“Secara berasingan, pertumbuhan pinjaman Oktober berada dalam aliran tinggi bagi tiga bulan berturut-turut kepada enam peratus tahun ke tahun daripada 5.7 peratus dalam bulan sebelumnya, dipacu oleh pinjaman tinggi yang disalurkan kepada sektor korporat, yang melonjak 6.1 peratus tahun ke tahun semasa bulan itu daripada 5.4 peratus pada September,” kata RHB Research.

Meskipun unjuran pertumbuhan M3 dan pinjaman tinggi bagi 2019, bagaimanapun firma penyelidikan itu berkata pertumbuhan agak tinggi dalam bekalan wang tidak dijangka membawa kepada sebarang tekanan harga permintaan mengatasi penawaran, kerana inflasi teras kekal lemah.

“Kami berpendapat bank pusat akan mengekalkan kadar dasar semalaman pada 3.25 peratus bagi 2019, kerana ini akan membantu mengekalkan kestabilan ringgit berbanding dolar AS, dalam keadaan langkah mengetatkan monetari oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat sekarang dan kekukuhan dolar AS,” kata RHB Research.

— BERNAMA