RHB Research kekal saranan “beli” ke atas Bursa Malaysia, TP baharu pada RM8.20

RHB Research kekal saranan “beli” ke atas Bursa Malaysia, TP baharu pada RM8.20

RHB Research Institute Sdn Bhd mengekalkan saranan ‘beli’ ke atas Bursa Malaysia Bhd, dengan harga sasaran (TP) baharu sebanyak RM8.20 berbanding RM8.40.

Dalam nota penyelidikannya, ia menurunkan unjuran bersih 2019 syarikat sebanyak 2.0 peratus kepada RM255 juta, sebahagian besarnya disebabkan oleh pengurangan unjuran purata harian sekuriti bernilai 2019 yang diunjurkan kepada RM2.6 bilion daripada RM2.8 bilion.

“Kami percaya perkembangan global, termasuk peningkatan kadar faedah Jawatankuasa Pasaran Terbuka dan perang perdagangan AS-China, boleh menyebabkan dagangan ekuiti yang lebih aktif, apabila pelabur mengubah kedudukan portofolio masing-masing,” kata RHB Research.

Ia berkata risiko utama ialah kedudukan ekonomi dunia yang turun naik, selain perkembangan geopolitik.

Sementara itu, Kenanga Investment Bank Bhd berkata keuntungan kewangan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) tahun 2018 sebanyak RM224.0 juta dan dividen penuh tahun 33.6 sen adalah dalam jangkaannya.

Katanya struktur kos yang lebih rendah dapat memberi keyakinan terhadap kecekapan operasi bursa.

“Kami mengekalkan saranan ‘berprestasi pasaran’ dengan TP sebanyak RM7.60. Penilaian yang lebih tinggi itu disebabkan saham syarikat berpotensi berperanan sebagai pelaburan selamat dalam keadaan pasaran yang lemah dan prospek ekonomi yang suram,” kata Kenanga.

Risiko ke atas sasaranan itu termasuk jumlah perdagangan yang lebih tinggi/rendah daripada yang dijangkakan dalam pasaran sekuriti dan derivatif, perbelanjaan operasi yang lebih tinggi/rendah daripada jangkaan dan lebih banyak/kurang tawaran awam permulaan (IPO).

Pada 10.52 pagi, harga saham Bursa Malaysia mencatatkan paras RM7.30, turun tiga sen, dengan 620,600 saham bertukar tangan.

— BERNAMA