RHB Research tingkatkan Westports kepada saranan ‘beli’ dengan harga sasaran RM4.32

RHB Research tingkatkan Westports kepada saranan ‘beli’ dengan harga sasaran RM4.32

RHB Research meningkatkan saranan ke atas Westports Holdings Bhd kepada ‘beli’ berbanding ‘neutral’ dengan harga sasaran baharu (TP) kepada RM4.32 daripada RM3.60.

Ia berasaskan jangkaan pertumbuhan terminal yang lebih tinggi dalam penilaian aliran tunai diskaun (DCF) yang mencerminkan unjuran perolehan yang lebih tinggi mulai 2019 dan seterusnya bagi Westports, katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

“Kami menjangkakan unjuran yang lebih baik bagi 2019 dengan anggaran 15 peratus pertumbuhan perolehan teras.

“Ini dipacu oleh jangkaan 15 peratus kenaikan tarif kontena (yang dijadual dilaksanakan pada 1 Mac, 2019 selepas ditangguhkan daripada 1 Sept, 2018) dan 4.1 peratus jumlah pertumbuhan kendalian, walaupun jangkaan keuntungan bersih teras bagi 2018 diunjurkan menurun 12 peratus tahun ke tahun berikutan kadar cukai yang lebih tinggi sebanyak 24 peratus,” katanya.

Westports dijangka mengeluarkan keputusan suku keempat (Q4) 2018 pada akhir Januari.

“Walaupun keuntungan bersih teras sembilan bulan 2018 yang berjumlah RM388 juta hanya terdiri daripada 68 peratus daripada jangkaan 2018 kami, kami yakin Q4 2018 merupakan suku yang agak kukuh.

“Pada pendapat kami, perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China memberi manfaat kepada jumlah kendalian kontena Q4 2018 susulan aktiviti penagihan kos kargo sebelum kenaikan tarif,” kata firma penyelidikan itu.

Ia juga menjangkakan dividen interim kedua syarikat sebanyak tujuh sen kepada 12.4 sen bagi jangkaan 2018, merangkumi 5.4 sen yang dibayar pada Q2 2018, menjadikan pulangan sebanyak 3.2 peratus.

Unjuran dividen bagi 2019 dijangka meningkat sejajar jangkaan perolehan yang lebih tinggi dengan nisbah pembayaran yang sama sebanyak 75 peratus.

Setakat 10.23 pagi, saham Westports di Bursa Malaysia menyusut 12 sen kepada RM3.78 dengan 179,100 saham bertukar tangan.

— BERNAMA