RHB unjur ekonomi Malaysia tumbuh 4.6 peratus tahun ini

RHB unjur ekonomi Malaysia tumbuh 4.6 peratus tahun ini

Ekonomi Malaysia dijangkakan bertahan pada tahap yang perlahan pada 4.6 peratus tahun ini, sama seperti yang diunjurkan bagi 2018, apabila persekitaran global lebih mencabar, dengan perlindungan perdagangan yang berlarutan selain peningkatan kadar faedah global.

Dalam notanya hari ini, RHB Research berkata pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) suku keempat 2018 dijangkakan menyederhana kepada 4.2 peratus tahun ke tahun, daripada 4.4 peratus pada suku ketiga.

Sementara itu, ia berkata pertumbuhan Indeks Pengeluaran Perindustrian Malaysia (IPP) bagi Disember meningkat 3.4 peratus tahun ke tahun, sejajar dengan anggaran firma penyelidikan berkenaan, namun lebih tinggi daripada konsensus Bloomberg pada 2.7 peratus.

“Ini berlaku susulan pertumbuhan pengeluaran yang sejajar dengan peningkatan eksport, manakala aktiviti perlombongan melantun berbanding penurunan pada bulan sebelumnya,” katanya.

Bagaimanapun, RHB Research berkata peningkatan pada akhir 2018 tidak dapat menghalang IPP daripada beralih kepada tahap tahunan paling lemah dalam tempoh tujuh tahun kepada 3.1 peratus susulan penurunan permintaan luar bagi barangan pembuatan selain gangguan bekalan dalam sektor perlombongan.

— BERNAMA