Ri Jong-chol disenarai hitam daripada memasuki Malaysia

Ri Jong-chol disenarai hitam daripada memasuki Malaysia

‘Pakar kimia’ Korea Utara, Ri Jong-chol, yang sebelum ini ditahan polis Malaysia bagi membantu siasatan kes pembunuhan Kim Jong-nam, kini disenarai hitam daripada memasuki negara ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ini berikutan kerajaan Malaysia tidak mahu wujudnya sebarang elemen yang mahu menjadikan negara ini sebagai pangkalan agenda tersembunyi.

“Beliau masuk ke negara ini dengan hasrat untuk bekerja dengan sebuah syarikat, namun siasatan polis mendapati beliau tidak bekerja di syarikat berkenaan.

“Sebaliknya aktiviti yang beliau lakukan ialah aktiviti yang kerajaan Malaysia tidak pernah kehendaki…kita tidak mahu elemen seperti ini berada di negara kita,” katanya kepada para pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan kali ke-7 Majlis Belia Felda Malaysia  hari ini.

Beliau mengulas perkembangan terkini siasatan kes pembunuhan Jong-nam, abang kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong-un di Lapangan Terbang Antarabangsa KL2 (klia2) pada 13 Februari lalu. Jong Nam dilaporkan menggunakan pasport atas nama Kim Chol semasa berada di negara ini.

TAGS