Ribuan anggota Skaf Merah bantah tunjuk perasaan Ves Kuning di Paris

Ribuan anggota Skaf Merah bantah tunjuk perasaan Ves Kuning di Paris

Ribuan orang turun ke jalan-jalan di Paris pada Ahad bagi membantah tunjuk perasaan antikerajaan oleh pergerakan Ves Kuning yang telah berlangsung selama berminggu-minggu, lapor agensi berita Turki Anadolu.

Kumpulan itu — yang menggelarkan diri mereka sebagai Skaf Merah — berhimpun di Dataran Negara di Paris dan berarak ke Dataran Bastille Square, sambil melaungkan “cukup cukuplah” dan “hentikan keganasan.”

Laurent Soulie, seorang jurutera aeronautik berusia 51 tahun, memberitahu pemberita bagi pihak kumpulan itu bahawa mereka memahami kemarahan Ves Kuning dan ia adalah sah di sisi undang-undang, namun keganasan yang berlaku semasa tunjuk perasaan itu tidak dapat diterima.

Lebih 10,000 orang, kebanyakannya memakai skaf merah, menyertai perarakan itu, menurut polis Paris.

Tunjuk perasaan Ves Kuning, yang bermula sebagai reaksi kepada kenaikan cukai minyak dan bertukar kepada satu tunjuk perasaan terhadap Presiden Perancis Emmanuel Macron, telah berterusan meskipun kerajaan meminta mereka menghentikannya.

Sejak 17 Nov, ribuan penunjuk perasaan yang memakai ves berwarna kuning terang, digelar Ves Kuning, telah berhimpun di bandar-bandar utama Perancis termasuk Paris, bagi membantah kenaikan cukai minyak kontroversi Macron dan situasi ekonomi negara itu yang semakin merosot.

Penunjuk perasaan mengadakan bantahan dengan menghalang jalan raya selain laluan masuk dan keluar stesen minyak serta kilang-kilang di seluruh negara.

Sekurang-kurangnya 10 orang terkorban manakala kira-kira 6,000 orang telah ditahan dan lebih 2,000 lagi cedera dalam tunjuk perasaan itu.

— BERNAMA