Ribuan doktor dalam skim kontrak kerajaan dijangka tidak akan berganjak untuk melancarkan mogok pada 26 Julai ini jika tuntutan mereka dalam Memorandum Gerakan #Hartal tidak diselesaikan kerajaan dalam tempoh tiga minggu ini.
Jurucakap Hartal Doktor Kontrak, Dr Mustapha Kamal A Aziz berkata, tindakan drastik itu akan diambil jika kerajaan tidak memberi jawatan tetap kepada lebih 20,000 doktor kontrak yang direkrut sejak 2016.
Tegasnya, kerajaan dituntut menawarkan pelantikan tetap kepada semua pegawai perubatan lantikan kontrak sedia ada dan memohon penjelasan terperinci kriteria pelantikan tetap.
“Sejak 2016, seramai 786 pegawai perubatan saja dilantik secara tetap, manakala selebihnya berkhidmat secara kontrak.
“Jika mengikut unjuran diberikan dalam maklum balas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, hanya 3.4 peratus diambil secara tetap dan pelantikan akhir untuk jawatan tetap adalah pada sesi Kohort Lantikan 2 tahun 2017,” katanya pada sidang media secara maya hari ini.
Semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba meminta semua doktor dalam skim kontrak kerajaan bersabar dan bertenang dengan memberikan sedikit masa kepada kerajaan untuk mencari penyelesaian terhadap isu membabitkan kumpulan itu.
Katanya, kerajaan memandang serius isu dibangkitkan sebelum ini dan akan membawa perkara tersebut ke pengetahuan Jemaah Menteri.
Menurutnya, setakat 21 Mei lalu, terdapat 35,2165 pegawai lantikan secara kontrak untuk tiga skim iaitu Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian dan Pegawai Farmasi.
Sebelum ini, trending tanda pagar #HartalDoktorKontrak di Twitter sebagai tanda solidariti terhadap nasib yang menimpa doktor kontrak di seluruh Malaysia berikutan dakwaan pegawai perubatan kontrak tidak diserap ke dalam sistem perkhidmatan kerajaan.
Selanjutnya, Dr Mustapha Kamal menegaskan sebagai pembuat dasar, kerajaan perlu bertanggungjawab memandangkan isu yang dibangkitkan adalah masalah nasional.
“Mengapa tidak ada pelan jangka panjang dan pendek, bahkan terlalu lama bincang tetapi masih tidak ada keputusan?” bidasnya.
Buat masa ini, katanya, mereka merancang mengadakan mogok pada 26 Julai sahaja tetapi hal tersebut akan dibincangkan semula bergantung kepada jawapan balas kerajaan.
“Jika mereka tidak menjawab (tuntutan) segera, kami akan meneruskan mogok ini sehingga ia dipenuhi.
“Kami mempunyai sokongan majoriti kumpulan doktor perubatan dan ini mengenai masa depan sistem kesihatan negara, bukan disebabkan wang atau publisiti.
“Bayangkan beberapa tahun akan datang, jika doktor tidak mencukupi, pesakit yang memerlukan rawatan segera terpaksa menunggu lama, selain kemungkinan doktor kontrak akan meninggalkan sektor awam untuk bekerja dengan swasta,” kata Dr Mustapha Kamal lagi.