Malaysia Dateline

Ribuan imigran kanak-kanak mungkin terpisah daripada keluarga di sempadan AS-Mexico

Ribuan kanak-kanak mungkin terpisah daripada ibu bapa atau penjaga mereka di sempadan Amerika Syarikat-Mexico, kadar yang lebih tinggi berbanding apa dilaporkan sebelum ini, lapor agensi berita Xinhua memetik laporan pada Khamis.

Bagaimanapun, laporan oleh Ketua Pengarah Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Kemanusiaan (HHS) tidak menyatakan jumlah sebenar kanak-kanak yang terpisah itu atau menjelaskan mengapa mereka terpisah tetapi menegaskan,kebiasaannya mereka terpisah ketika masih terlalu muda dan mengalami kekurangan katil.

Kerajaan persekutuan sebelum ini melaporkan 2,737 kanak-kanak dipisahkan secara paksa daripada ibu bapa mereka selepas memasuki Amerika secara haram pada tahun lalu, ketika Presiden Donald Trump melaksanakan dasar ‘toleransi sifar’ yang mengenakan hukuman jenayah ke atas semua pendatang haram sejurus melintasi sempadan.

Kajian terbaru mendapati peningkatan kes keluarga terpisah ini berlaku lama sebelum dasar ‘toleransi sifar’ ini dengan menghukum ibu bapa yang memasuki Amerika secara haram manakala kanak-kanak ditempatkan di pusat jagaan HHS.

Pada musim panas 2017, Pejabat Penempatan Semula Pelarian yang mengendalikan rumah perlindungan kerajaan untuk kanak-kanak tanpa ibu bapa, melaporkan peningkatan ketara penghuni.

Jabatan Keselamatan Dalam Negeri memberitahu laman web Insider, laporan itu mewajarkan dakwaan mereka bahawa kejadian terpisah daripada keluarga ini adalah normal dalam keadaan tertentu, meskipun agensi berkenaan meragui dapatan laporan terbaru itu.

— BERNAMA