Malaysia Dateline

Ribuan sedih selepas rentas negeri dibenarkan

Ketika ramai teruja untuk balik kampung susulan kebenaran pergerakan rentas negeri bermula tengah malam ini, ada juga yang meluahkan rasa sedih.

Tinjauan di media sosial mendapati, mereka yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19 berkongsi rasa hiba dan rindu terhadap ahli keluarga tersayang yang telah menjadi korban pandemik itu.

“Seronok dapat balik jumpa mak ayah, kan? Doakan arwah ibu bapa mereka yang syahid Covid-19. Al-Fatihah,” kata pengguna Facebook Ainuddin Aris.

Nada sama dilontarkan Iman Haikal yang mengajak warga kota dan perantau untuk balik kampung bertemu ibu bapa selagi mereka bernafas.

“Bersyukurlah yang masih ada ibu. Saya baru kehilangan ibu bulan lepas dalam keadaan rentas negeri tidak dibenarkan.

“Berapa ramai jiwa yang tidak dapat berjumpa dengan ibu bapa? Pergilah balik jumpa ibu bapa yang masih ada,” kata Iman Haikal lagi.

Fatma Ariffin turut meluahkan rasa hiba di sebalik pengumuman kerajaan yang dinantikan rakyat Malaysia berhubung kebenaran merentas negeri.

“Seronok pada sesiapa yang ada mak. Mak saya dah meninggal dunia sebab Covid-19 dua bulan lepas. Rindu mak, tak dapat jumpa mak dah,” ujarnya hiba.

Ada juga kalangan warganet yang kehilangan ibu dalam keadaan tanah di perkuburan masih merah lagi.

Antaranya, Ira Natrah Haji Yaacob yang memberitahu ibunya baru sahaja menghadap Ilahi pada dua minggu lalu.

“Hampir setahun tak jumpa sebab tidak dapat rentas negeri. Esok dah boleh rentas negeri. Masing-masing gembira dapat balik kampung. Saya saja yang sedih,” luahnya.

Setakat semalam, lebih 27,000 kes kematian akibat Covid-19 direkodkan di negara ini.

Mulai tengah malam ini, rakyat yang sudah menerima vaksinasi lengkap dibenarkan untuk melakukan pergerakan rentas negeri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pergerakan itu boleh dilakukan tanpa memerlukan kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM).