Malaysia Dateline

Ribuan staf Malindo dakwa teraniaya, diberi pampasan cuma RM4,000

Timbalan Setiausaha Agung, Kesatuan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM), Shashi Kumar mendedahkan kru kabin Malindo Airways Sdn Bhd (Malindo Air) yang diberhentikan kerja menerima pampasan hanya RM4,000 lebih sahaja.

Beliau berkata, pihaknya menerima aduan pampasan dan terma pembuangan pekerjaan menerusi kaedah LIFO (Last In First Out) yang sungguh tidak munasabah kepada pekerja-pekerja terlibat.

“Adakah ini pampasan yang berpatutan dan bersifat peri kemanusiaan?

”Ramai pekerja ini juga adalah golongan B40 yang masih mempunyai kontrak yang akan berakhir pada tahun 2024. Jadi, mana keadilan ini semua?,” soalnya.

Menurutnya, anak muda yang hanya bekerja dengan syarikat kurang dari setahun merupakan kumpulan terjejas memandangkan golongan itu tidak tahu hak mereka dan faktor itu dijadikan sebab mereka diberhentikan.

“Apa yang kami dimaklumkan ramai antara pekerja ini tidak menerima gaji sejak beberapa bulan yang lalu tapi tiba-tiba dibuang kerja.

“Hutang gaji pekerja belum dibayar, tapi syarikat buang pekerja sebelum melangsaikan tunggak gaji,” ujarnya.

Shashi mendakwa ramai kakitangan syarikat penerbangan tambang rendah itu tidak puas hati cara mereka diberhentikan.

Malindo sebelum ini dilapor mengurangkan sehingga 2,200 pekerjanya dalam usaha memastikan kelangsungan perniagaan ekoran impak Covid-19 ke atas industri penerbangan.

Keputusan yang turut mengekalkan hanya kira-kira 1,000 pekerja itu didakwa dimuktamadkan oleh pengurusan Malindo Air pada mesyuarat, 16 Oktober lalu.

Sehubungan itu, Malindo meminta pekerja yang masih kekal melaksanakan bidang tugas berganda, bagi menampung kekurangan tenaga kerja manakala armada pesawat Malindo Air juga akan dikurangkan.

“Syarikat beroperasi dengan lima buah pesawat berkuasa jet merangkumi Boeing 737-900ER dan 737-800 serta enam pesawat turboprop ATR72-600,” lapor BH bulan lalu.

Sehubungan itu, Shashi meminta pekerja Malindo Air untuk membuat aduan kepada NUFAM mengenai pembuangan pekerjaan mereka dalam tempoh 60 hari.

Beliau berkata, pihaknya telah membuat aduan kepada agensi buruh Kementerian Sumber Manusia mengenai masalah tersebut.

Bagaimanapun, jelasnya, isu tersebut masih berlaku dan dilihat tiada tindakan selanjutnya diambil.

Katanya, NUFAM dimaklumkan pihak Malindo Air telah menerima peruntukan RM3 juta untuk membayar pekerja yang telah dicutikan tetapi malangnya, ramai antara pekerja terbabit tidak menerima peruntukan bulanan tersebut.

Oleh itu, Shashi berkata, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) harus membuat siasatan jika benar hal tersebut berlaku.

“Ada pihak pekerja mengadu kepada Perkeso mengenai isu bayaran skim Program Subsidi Upah (PSU) tetapi mereka tidak mendapat maklum balas atau jawapan daripada pihak syarikat.

“Yang kami terkilan adalah kerajaan sudah pun memaklumkan dalam keadaan Covid-19, mana-mana syarikat tidak boleh menghentikan pekerjaan tapi lihatlah sendiri hari ini,” dipetik Malaysia Gazette.

Mengulas lanjut, beliau berpendapat tiada guna kerajaan memberi peruntukan berbilion ringgit kepada syarikat sekiranya mereka masih membuang pekerja.

“Ia menampakkan betapa lemah pemantauan ke atas apa yang dinyatakan oleh kerajaan hari ini.

“Ia seolah-olah syarikat ini menerima dana tapi tetap menganiaya pekerja mereka,” tegasnya.

Sehubungan itu, Shashi menggesa satu siasatan dijalankan jika benar wujudnya pelanggaran dalam hal pembuangan pekerja di Malindo Air.

Malah, NUFAM, tegasnya, mengesa mana-mana pekerja yang telah teraniaya membuat laporan segera agar tindakan yang sewajarnya boleh diambil.