Malaysia Dateline

Ribuan terima kasih untuk Mufti

Dengan tidak semena-mena, mufti sebuah negeri di utara berbicara tentang AMANAH secara khusus melalui tiga klip video. Video gelap kerana tak cukup cahaya itu menampilkan mufti terbabit bersama seorang individu lain sebagai pengacara. Kalimah paling kerap yang mereka berdua sebut dalam semua klip video itu ialah kalimah AMANAH. Bukan amanah sifat rasul itu, tapi parti AMANAH

Sebelum terlupa, izinkan saya untuk berterima kasih dalam lima perkara kepada mufti terbabit. Pertama, kerana sudi berbicara tentang AMANAH secara ekslusif. Kedua, kerana sudi menyebut AMANAH dengan akronim yang betul. Ketiga, kerana tidak menyamakan AMANAH dengan “janda tak boleh pakai” seperti akhbar parti itu. Keempat, kerana sudi meluang masa berharga mufti untuk menyinggung peranan AMANAH. Kelima, kerana sudi memberi perhatian secara langsung kepada gagasan Rahmatan Lil Alamin yang dipelopori oleh AMANAH.

Lima terima kasih itu sempena lima rukun Islam, lantaran saya begitu teruja dengan isi kandungan wawancara berkenaan. Sejujurnya, klip video wawancara itu begitu menghiburkan hati kami orang-orang AMANAH Berpeluang juga untuk kami berbisik, “Oh, parti kami yang tidak setara mana ini, berusia setahun jagung, tidak dibarisi oleh tokoh-tokoh gah dan hebat diberi perhatian oleh mufti paling hebat di negara ini. Hah…!”

Terima kasih mufti. Selepas kehadiran mufti ke Kongres Maruah Melayu yang mufti turut menjulang tangan bersama beberapa orang pemimpin Melayu lain, dan mufti memberi komen, ucapan PM tak cukup perisa, saya fikir mufti tentu akan berbicara tentang parti penganjur kongres itu. Atau berbicara naratif Melayu terancam, tapi sangkaan saya meleset apabila mufti berbicara tentang AMANAH

Disela-sela hiruk-pikuk maruah Melayu terancam, dan lebih berperisa lagi jika disebut Islam terancam, AMANAH juga yang mufti ingat. Bukan sekadar kalimah AMANAH berlegar-legar dalam ruang fikir mufti, bahkan mufti sudi bervideo khusus tentang AMANAH. Padahal, mufti boleh menyinggung parti lain yang lebih hebat dan senior, tetapi AMANAH yang mufti sebut dengan fasih berulang-ulang kali. Hal ini tentulah layak saya kalungkan terima kasih sekali lagi untuk mufti.

Mufti pun tahu, isu Zakir Naik sudah ada keputusan kerajaan. Pendirian AMANAH sama dengan pendirian kerajaan yang diumum oleh PM. Tidak lebih dan tidak kurang kerana AMANAH sebahagian daripada kerajaan. Namun mufti masih mahu AMANAH bersuara juga walaupun kerajaan sudah bersuara. Nampak…! besarnya kedudukan AMANAH pada penilaian mufti. Berharganya suara AMANAH  kepada mufti. Jika saya tidak berterima kasih kepada mufti dalam hal ini, saya memang seorang yang tidak tahu menilai jasa mufti.

Demikian dengan isu komik yang diedar di sekolah di Pulau Pinang. Menteri Pendidikan sudah mengeluarkan pekeliling mengenainya kerana itu memang bidang kuasa menteri terbabit. Menteri AMANAH tidak ada seorang pun yang terlibat secara langsung dalam hal itu. Tak manislah kalau menteri AMANAH campurtangan dan membuat kenyataan merentas kementerian.

Namun begitu, mufti tetap mahu AMANAH bersuara juga. Padahal secara kolektif, suara Menteri Pendidikan adalah suara kerajaan. Itulah juga suara AMANAH yang menjadi sebahagian daripada kerajaan. Tak perlu lagi tahsil al-hasil, yakni buat kerja yang sudah dibuat oleh orang lain. Tapi mufti tanya, mana suara AMANAH? Suara AMANAH juga yang mufti mahu dengar. Betapa kembangnya hati saya orang AMANAH apabila mufti begitu menghargai AMANAH. Saya balas penghargaan itu dengan ucapan terima kasih sekali lagi.

Akhirnya, kenyataan mufti tentang hal ini paling saya kagumi, iaitu apabila mufti kata, AMANAH paling setia dengan DAP. Menurut mufti AMANAH tIdak pernah membantah DAP dalam semua hal. Kenyataan ini begitu melegakan saya kerana selama ini kami dilabel barua DAP dan banyak lagi label negatif lain. Tapi, apabila mufti guna kalimah setia, dan mufti kagum dengan kesetiaan AMANAH, mufti telah membersihkan AMANAH daripada label barua.

Setia dalam bahasa Arab ialah al-wafa’. Orang Islam diperintah setia dengan janji dan sebarang kontrak. Lawan al-wafa’ ialah al-khianah. Syukur, kami diberi bintang setia oleh mufti yang sehebat mufti itu. Belum ada mana-mana mufti yang memberi kami bintang itu. Ketika kami berlegar-legar mencari istilah yang sesuai untuk menggambarkan hubungan baik kami dengan DAP, mufti tampil dengan istilah setia. Hilang semua kegusaran kami dengan bantuan mufti.

Tentulah jika saya tidak berterima kasih kepada mufti kerana telah menyelamatkan AMANAH dalam hal ini, zalimlah saya. Terima kasih mufti kerana mengiktiraf AMANAH memiliki satu akhlak terpuji iaitu setia.

Semenjak awal AMANAH setia dengan semua pihak, bukan saja dengan DAP. AMANAH setia dengan PKR dan tidak pernah mengkritik PKR secara terbuka, setia dengan Bersatu dan sentiasa mendokong perjuangan Bersatu. AMANAH juga setia dengan Tun selaku PM, dengan Kak Wan selaku TPM dan dengan DSAI selaku Presiden PKR selaku bakal PM. Itulah AMANAH semenjak awal penubuhannya. Kami berpakat dalam PH untuk saling setia, bukan untuk saling jadi barua.

Terima kasih mufti kerana memperkenalkan istilah setia dalam kolaborasi politik dalam PH. Kalau parti-parti lain berkolaborasi politik dengan pelbagai istilah Arab, kami berkolaborasi dengan bahasa kami sendiri. Dalam hal ini tentu kami tidak sesuai dilabel golongan yang mengancam Melayu.

Terima kasih, terima kasih, terima kasih mufti kerana mengingati AMANAH, menyinggung AMANAH, mengkritik AMANAH yang semuanya itu membayangkan AMANAH begitu akrab dengan hati dan pemikiran mufti. Dan, kalau mufti berminat untuk berenang dalam lautan politik yang bergelora ini, AMANAH berterima kasih kalau mufti memilih AMANAH sebagai wadah.

*Penulis adalah Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH dan Timbalan Yang DIpertua Yadim