Ribuan warga kota iftar bersama TPM

Ribuan warga kota iftar bersama TPM

Ribuan warga kota memenuhi Dataran Merdeka hari ini untuk berbuka puasa bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Warga kota mula memenuhi perkarangan di depan Bangunan Sultan Abdul Samad itu seawal jam lima petang untuk tidak melepaskan peluang bersama-sama dengan pemimpin nombor dua negara itu.

Pelbagai juadah berbuka disediakan pihak penganjur antaranya nasi ayam berempah, bubur lambuk, kurma dan minuman seperti Yakult dan Oishi.

Program Berbuka Puasa @Kuala Lumpur 2018 itu dianjurkan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan dan swasta.

Sebaik selesai berbuka orang ramai turut menunaikan solat maghrib berjamaah sebelum program seterusnya iaitu perasmian Malam Tujuh Likur oleh Wan Azizah.