Ribut di Muktamar Pas: Presiden Amanah berdoa semoga semua selamat

Presiden Amanah, Mohamad Sabu berharap ahli-ahli Pas yang menghadiri muktamar tahunan parti itu di Kompleks Pas Kota Sarang Semut, Alor Setar terhindar daripada bahaya akibat bencana ribut yang melanda di kawasn itu lewat petang tadi.

Ribut di Muktamar Pas: Presiden Amanah berdoa semoga semua selamat

Presiden Amanah, Mohamad Sabu berharap ahli-ahli Pas yang menghadiri muktamar tahunan parti itu di Kompleks Pas Kota Sarang Semut, Alor Setar terhindar daripada bahaya akibat bencana ribut yang melanda di kawasn itu lewat petang tadi.

“Kejadian tidak disangka-sangka, angin ribut yang melanda Kedah dan turut melintasi Batu 9, di mana kawasan Muktamar Parti Islam sedang berlangsung sehingga ada kerosakan dan kecederaan, sangat mengejutkan kita semua.

Khemah muktamar rosak akibat serangan ribut lewat petang tadi.“Saya berharap semoga semua rakyat negeri Kedah, khususnya ahli-ahli Pas yang berkampung sempena muktamar agar bertenang dan saya berdoa semoga mereka semua berada dalam keadaan selamat,” katanya dalam satu kenyataan segera sebentar tadi.

Bekas Timbalan Presiden Pas itu turut mendoakan mereka yang mengalami kecederaan agar pulih dan kembali sihat seperti sedia kala.

“Ujian daripada Allah berlaku kepada sesiapa jua mengikut takdir dan kehendak-Nya. Sebagai orang Islam, kita perlu redha dengan ketentuan dan sedikit ujian ini.

“Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan takziah kepada mangsa yang tercedera. Semoga Allah memberi ketenangan kepada kita semua. Kepada Allah jua tempat kita berlindung,” tambahnya lagi.

Amanah Kedah juga merakamkan simpati dan takziah kepada seluruh pimpinan, perwakilan serta pemerhati Muktamar Pas ekoran kejadian ribut kencang luar biasa yang melanda kawasan muktamar.

“Semoga semua dapat bertenang dan bersabar di atas kejadian yang di luar kekuasaan manusia untuk menghalangnya.

“Diharap semua yang cedera dirawat dan segera sembuh, khemah-khemah yang roboh menyembah bumi akan dapat segera dibaiki.

“Didoakan agar muktamar dapat diteruskan seperti dijadualkan oleh panitia muktamar,” kata pengerusi Amanah Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh.

Beberapa foto yang mulai tular di media sosial menyaksikan sejumlah khemah musnah dilanda ribut manakala kenderaan bomba dan penyelamat dilihat berada di lokasi kejadian.

Beberapa ambulan berkejaran ke kawasan muktamar manakala yang cedera di bawah ke Hospital Sultan Bahiyah, Alor Setar.

Menurut saksi, kejadian berlaku secara tiba-tiba kira-kira  jam 7.30 malam ketika orang ramai bersiap mahu menunaikan solat magrib.