Malaysia Dateline

Ribut petir, angin kencang gegarkan Telok Intan

Ribut petir beserta angin kuat telah menyebabkan pokok tumbang, rumah terbakar serta letupan menggegarkan Teluk Intan, Perak lewat petang semalam.

Kawasan pejalan kaki Hospital Teluk Intan roboh dan menimpa kereta yang diletakkan bersebelahan dengannya ekoran ribut kencang petang semalam.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 4.30 petang itu, bumbung kawasan pejalan kaki Hospital Teluk Intan telah roboh, rumah warga emas uzur terbakar dan beberapa bumbung rumah lagi terbang.

Letupan juga kedengaran di Jalan Maharajalela manakala kanopi-kanopi di bazar-bazar Ramadan berterbangan ditiup angin kencang itu.

Ekoran hujan yang lebat pula, beberapa kawasan di bandar bersejarah ini dilanda banjir kilat.

Menurut seorang penduduk, Mohammad Mokhtar Ahmad Sabki, rumah bersebelahan dengan tempat tinggal beliau juga terbakar.

“Paling meresahkan kami kebakaran berlaku betul di belakang rumah saya hanya berjarak 5 Meter dengan kejiranan yang berdekatan,” kata beliau.

Menurut beliau, ketika kejadian pihak Bomba memaklumkan mereka sedang terlibat dengan bencana-bencana lain dan terpaksa mendatangkan bantuan bomba dari Hutan Melintang.

“Terima kasih tidak terhingga kepada masyarakat Kampung yang membantu dan pihak Bomba yang bertungkus lumus memadam api kebakaran dari merebak kejiranan lain,” kata beliau.