Malaysia Dateline

‘Rider’ khuatir hantar makanan di kawasan positif Covid, Adun gesa MKN garis SOP tegas

Kerajaan digesa untuk merangka satu peraturan baru kepada syarikat penghantaran makanan dan e-hailing agar menggariskan satu panduan keselamatan kepada rider yang menghantar makanan ke kawasan-kawasan berisiko tinggi Covid-19.

Adun Durian Tunggal, Datuk Sofi Wahab berkata, ramai dalam kalangan penghantar makanan yang mengadu bimbang dengan keselamatan mereka apabila terpaksa menghantar makanan ke bangunan yang terdapat kes positif Covid-19.

Apatah lagi katanya, pelanggan turut berkeras mahukan makanan dihantar sehingga ke hadapan rumah walaupun bangunan tersebut mempunyai kes positif dan rider terpaksa merisikokan keselamatan sendiri.

“Rider mengeluh tentang sikap customer yang kasar dan tidak mahu mengambil sensitif tentang kes Covid-19. Ada dalam kalangan pelanggan yang meminta rider menghantar makanan sehingga ke tingkat atas walaupun bangunan itu ada kes positif.

“Mereka juga mengeluh tentang sikap syarikat penghantar makanan yang tidak mempunyai SOP kepada rider. Sudah banyak kali aduan dibuat kepada pihak tertentu tetapi tidak dihiraukan.

“Syarikat tidak mementing keselematan pekerja (rider) kerana mewajibkan pekerja menghantar makanan kepada pelanggan walaupun risiko jangkitan tinggi,” katanya semalam.

Sofi berkata, syarikat penghantar makanan sepatutnya menyediakan satu SOP di mana pelanggan yang berada di bangunan yang mempunyai kes positif Covid-19, hendaklah mengambil makanan di pondok keselamatan.

Menurutnya, ada dalam kalangan penghantar makanan mendapat ‘rating’ teruk sehingga 1 bintang sahaja apabila mereka tidak menghantarnya hingga ke hadapan rumah pelanggan sehingga menjejaskan bayaran komisen mereka.

Dalam pada itu, beliau menggesa agar Majlis Keselamatan Negara (MKN) menyediakan SOP khusus untuk operasi penghantaran makanan melalui e-hailing.

“Syarikat mesti memastikan pekerja mereka diberikan PPE khusus bagi mengelakkan mereka dijangkiti dan menularkan pula Covid-19 kepada pelanggan mereka.

“Syarikat mesti memetingkan keselamatan rider dalam dan tidak sewenang-wenangnya menurunkan gred pekerja tanpa mengambil kira risiko keselamatan pekerja,” katanya lagi.