Riduan Tee keluar MCA, anggap parti itu telah ‘menjadi musuh Islam’

Riduan Tee keluar MCA, anggap parti itu telah ‘menjadi musuh Islam’

Penceramah bebas Ridhuan Tee Abdullah mengumumkan keluar MCA hari ini sebagai tanda protes pada penentangan berterusan parti itu terhadap hudud.

Malaysiakini melaporkan beliau mengesahkan perkara itu ketika dihubungai portal berita itu.

“Kerana perkembangan akhir-akhir ini (hudud). Saya tidak mahu menanggung dosa berada dalam parti sebegini,” katanya.

MCA antara parti komponen BN yang amat lantang dan konsisten menentang pelaksanaan hudud.

Parti itu malah mengugut keluar daripada kabinet Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Ini susulan langkah kerajaan mengusulkan supaya rang undang-undang persendirian bagi menambah bidang kuasa mahkamah syariah dipercepat minggu lalu.

Ridhuan memberitahu beliau memohon menjadi anggota MCA pada tahun 1995 atau 1996 tetapi hanya diluluskan pada tahun 2000.

Katanya, beliau ketika itu memohon menyertai MCA bagi membuktikan beliau bukan “masuk Melayu” dan kekal sebagai seorang Cina walaupun telah memeluk Islam.

‘Siapa musuhi Islam, dia musuh saya’

Selain itu, Ridhuan menjelaskan hasratnya berdakwah daripada dalam.

“Dulu saya masuk MCA sebab saya nak tunjukkan saya bukan masuk Melayu, saya kekal Cina.

“Niat saya untuk berdakwah, menjadi jambatan (pada Islam), tetapi tidak pernah dihargai. Malah mereka melihatnya sebagai ancaman,” katanya lagi.

Beliau juga memberitahu Malaysiakini belum mempunyai rancangan untuk memohon menyertai mana-mana parti itu.

Sementara itu, Ismaweb pula melaporkan bekas anggota MCA seumur hidup itu menyifatkan parti itu terlalu perkauman dan “menjadi musuh Islam”.

“Siapa memusuhi Islam, dia adalah musuh saya juga,” beliau dipetik sebagai berkata dalam kenyataan kepada portal itu.

TAGS