Malaysia Dateline

Rimas Parlimen jadi sarkas? Modul Sekolah Parlimen wajar diperkenal ‘sekolahkan’ ‘Yang Berkhidmat’

Kekecohan di Parlimen setiap kali bersidang dilihat mewajarkan modul Sekolah Parlimen diperkenal untuk memberi pendedahan sebenar tentang suasana urusan sidang Dewan Rakyat.

Pusat Kajian dan Kecemerlangan Forward Malaysia berpendapat modul itu adalah pendedahan untuk wakil rakyat khususnya yang baharu di samping mengetahui proses penggubalan undang-undang dan mengelakkan Parlimen daripada menjadi gelanggang sarkas.

Pengarah Strategik Forward Malaysia, Jazlie Baharudin berkata, apa yang berlaku di Parlimen baru-baru ini menyaksikan provokasi dan penggunaan perkataan tidak sepatutnya.

Ini memberikan gambaran bahawa wujud keperluan agar Parlimen Malaysia mengadakan modul khas untuk menerangkan perjalanan urusan Dewan Rakyat dalam kalangan ahli Parlimen.

Cadangan tersebut bukanlah untuk merendahkan martabat dan kedudukan wakil rakyat, sebaliknya diperkenalkan bagi memberikan pendedahan sebenar kepada suasana dan dinamik sebenar di dalam Dewan.

“New Zealand antara negara yang memperkenalkan sekolah Parlimen dalam memastikan lebih 35 ahli Parlimen baharu negara itu dapat memahami disiplin dan kaedah sebenar dalam melaksanakan urusan di Parlimen.

“Langkah pentadbiran Parlimen negara itu mengadakan kursus khas termasuk memanggil kalangan bekas ahli Parlimen memberikan nasihat, pandangan dan petua dalam mengendalikan urusan penggubalan undang-undang wajar dicontohi oleh Parlimen Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur ahli-ahli Parlimen untuk menjaga adab dan susila dan tidak menjadikan persidangan Dewan Rakyat sebagai tempat sarkas kerana kekecohan yang berlaku.

Pertikaian yang berlarutan sehingga sesi perbahasan usul yang dibentangkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof itu turut menyaksikan beberapa Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang masing-masing mengeluarkan perkataan tidak berparlimen, ‘bodoh’, ‘beruk’ serta ‘penyamun’.

Mengulas lanjut, Jazlie berkata bahawa usaha untuk meminda banyak undang-undang yang disifatkan lapuk dan usang mesti dimulakan dengan kemahiran berdebat dan berbahas dalam kalangan ahli Parlimen, sejajar semangat dan keghairahan melaksanakan reformasi dan penambahbaikan institusi.

Disebabkan itu, modul ini perlu diperkenalkan sebelum sidang akan datang berlangsung setelah melihat sikap beberapa wakil rakyat dan seakan-akan meletakkannya sebagai satu keperluan yang mendesak.

“Memang benar, dokumen Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat merupakan domain awam dan boleh diakses bila-bila masa, namun dinamik sebenar di dalam dewan adakalanya tidak seperti yang dimuktamadkan di dalam naskhah peraturan.

“Di sebahagian negara maju Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat juga bukanlah sesuatu yang bersifat statik dan tidak berganjak. Parlimen United Kingdom misalnya mempunyai ikhtiar menambah baik peraturan mesyuarat yang dikaji dan diperbaharui secara berkala,” katanya.

Jika usaha ini dilaksanakan, Parlimen ke-15 akan kembali dihormati setiap rakyat sekaligus memberikan nafas baru buat Parlimen Malaysia.

Baca juga ‘Siap ada katak, baik punya sindir’, orang ramai teruja lihat lukisan dibeli Sultan Selangor