Malaysia Dateline

Rina Harun berdiam diri, punca sering dikecam rakyat

Baru-baru ini, Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern membuat pengumuman bahawa semua sekolah akan disediakan produk kebersihan peribadi wanita secara percuma mulai Jun tahun ini.

Banyak pihak memuji usaha PM wanita itu yang sangat kompeten selain menjadikan negara itu, negara terawal bebas daripada Covid-19.

Beliau sangat reaktif dan membuat perancangan dengan baik hingga turut disanjungi oleh masyarakat diseluruh dunia sebagai antara pemimpin terbaik pernah disaksikan.

Di Malaysia, Menteri di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Rina Harun adalah pihak yang bertanggungjawab dalam menjaga kebajikan wanita, kanak-kanak dan Orang Kurang Upaya (OKU).

Bukanlah niat penulis untuk membandingkan seorang PM New Zealand dengan seorang Menteri KPWKM.

Namun, apalah nasib rakyat Malaysia ‘dihadiahkan’ seorang Rina Harun yang terlalu gagal dalam menjalankan tugas yang diamanahkan padanya?

Tidak mahu menyentuh lanjut isu Rina dikatakan menjalani pembedahan bariatrik, walaupun ia dibuat di alang tahun, belayar di luar musim, kerana ia urusan peribadinya.

Tetapi, rakyat rata-ratanya mempersoalkan apakah usaha mantap yang dilakukannya dalam membendung isu keganasan rumah tangga yang semakin meningkat akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)?

Bagaimana pula dengan isu kesihatan mental yang semakin parah? Apakah cadangan atau usaha yang ditunjukkannya?

Isu kanak-kanak tercicir pembelajaran akibat jurang digital juga gagal ditanganinya. Dimanakah suaranya ketika Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan mudah mengeluarkan arahan pembukaan sekolah sedangkan sebelum ini ibu bapa ramai yang bergolok-bergadai demi mendapatkan anak-anak mereka alat peranti elektronik?

Sikap berdiam dirinya dikecam ramai pihak, antaranya Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto berkata, “Rina Harun seharusnya menggunakan kedudukan, masa, tenaga, dan sumber yang ada untuk membetulkan apa yang salah di dalam sistem pentadbiran.”

Rina yang tidak atau lambat bersuara berkenaan isu-isu yang melibatkan spektrum kementeriannya memperlihatkan kegagalannya dalam mengepalai KPWKM, sedangkan isu-isu seperti gadis 16 tahun didakwa dirogol di dalam lokap polis di Sarawak, dan kanak-kanak berusia 7 tahun mati dipercayai akibat didera adalah isu berat yang memerlukan suara dan usahanya!

Ada yang kata, setelah perubahan fizikal dirinya, Rina pasti akan dapat bekerja lebih tangkas lagi.

Namun, pada 18 Februari baru-baru ini, KPWKM terpaksa menafikan dakwaan Rina Harun yang menyatakan bahawa petugas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), warga emas dan orang kurang upaya (OKU) akan menerima vaksin dalam fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, sedangkan golongan ini akan menerima vaksin dalam fasa kedua.

Kasthuri juga berpendapat, jika Rina lebih pantas bersuara dalam isu-isu berkaitan kementeriannya, pasti kecaman dan kemarahan rakyat akan berkurangan.

Ini dapat dilihat menerusi video ucapan bahasa Inggeris Rina Harun di sesi ke-59 Suruhanjaya Pembangunan Sosial (CsosD59) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, New York di Amerika Syarikat yang tular di Twitter, beliau dikecam hebat oleh orang ramai kerana sebutannya.

Secara peribadi, sebutan bahasa Inggeris yang sempurna atau tidak bukanlah suatu hal yang perlu dijadikan isu besar. Namun, mungkin kerana kegagalan Rina dalam banyak hal, menyebabkan ramai yang menjadikan sebutan bahasa Inggerisnya sebagai bahan untuk mengecamnya.

Entah sampai bilalah kita perlu berhadapan dengan menteri-menteri yang tidak kompeten seperti Rina Harun dalam kerajaan hari ini?

Untuk Rina terus kekal di kabinet ini, Rina perlu “step up her game” sebelum beliau kena “game” dengan rakyat di kawasannya PRU-15 nanti kerana seperti yang boleh dilihat sekarang, tanda-tandanya sudah kelihatan.