Malaysia Dateline

Rina Harun cadang isteri cakap macam Doraemon di rumah masa Covid-19

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memberi beberapa panduan kepada suri rumah untuk mengelakkan pergaduhan bersama pasangan sepanjang tempoh lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan.

KPWKM dalam satu hantaran instagram berkata, wanita perlu mengelakkan dari menyindir pasangan dan sentiasa amalkan sikap bertolak ansur serta menghormati antara satu sama lain.

Dalam panduan tersebut, kementerian itu juga menawarkan tips menegur pasangan dengan menggunakan salah satu suara kartun Jepun yang popular dalam kalangan kanak-kanak.

“Jika melihat pasangan melakukan sesuatu yang bercanggah dengan kehendak kita, elakkan dari berleter – gunakan perkataan ‘humorous’ seperti ‘cara sidai baju macam nilah sayangku’ (tiru nada Doraemon dan diikuti dengan gelak manja!)” nasihatnya.

Kementerian itu turut menasihati wanita agar tidak menyindir pasangan yang tidak membantu kerja rumah, sebaliknya mereka harus meminta tolong dan memberitahu pasangan kerana adakalanya pasangan perlu ‘dimaklumkan’ untuk tahu apa yang perlu mereka lakukan.

Dalam siri hantaran sama, KPWKM mengingatkan bahawa kebahagiaan rumah tangga bukan hanya terletak pada individu, tetapi ianya terjalin melalui kekeluargaan yang terbina bersama.

“Kementerian mengambil kesempatan untuk menasihatkan kepada seluruh rakyat Malaysia agar sentiasa mengawal emosi tidak kira sama ada ketika berada di dalam rumah atau di luar rumah,” tulisnya.