Malaysia Dateline

Rina Harun tercorot di poll siapa pemimpin wanita pilihan anda?

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Harun antara menteri wanita tercorot dalam satu undian yang digerakkan UtusanTV baru-baru ini.

Undian berkenaan menyenaraikan sembilan barisan pimpinan wanita Perikatan Nasional (PN) dan empat dari Pakatan Harapan (PH) dalam satu undian ‘Siapakah pemimpin wanita pilihan anda?’

Berdasarkan keputusan yang dipaparkan, Rina memperolehi kosong peratus atau 90 undian berbanding dengan keseluruhan jumlah pengundi yang menghampiri 70,000 undi ketika ini.

Rina juga menduduki kedudukan paling bawah dalam pengundian tersebut dengan diikuti kedua tercorot ialah Ahli Parlimen Bersatu (Masjid Tanah) Mas Ermieyati Samsudin yang memperoleh 124 undi atau kosong peratus.

Sementara itu, Ketua Puteri Umno, Datuk Zahida Zarik Khan menjadi antara pemimpin wanita pilihan dengan 17,200 undian atau 26 peratus dari keseluruhan pengundi.

Manakala mewakili PH, Ahli Parlimen Permatang Pauh (PKR), Nurul Izzah Anwar memperoleh 15,267 undi atau 23 peratus.

Di Facebook, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak turut mempersoalkan mengapa Rina masih berada di kedudukan tercorot selepas dua hari poll tersebut berjalan.

“Mungkin J-KOM (Jabatan Komunikasi Komuniti) belum mula kerja lagi. Ayuh!,” katanya.