Malaysia Dateline

Rina, mana RUU Akta Gangguan Seksual?

Datuk Seri Rina Harun dan Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu bertanggungjawab penuh dalam isu ‘period shaming’ kerana RUU Akta Gangguan Seksual tidak dibentangkan di Parlimen.

Pengerusi Biro Guaman dan Pembangunan Komuniti Wanita PKR Fadhlina Sidiqq berkata kenyataan Rina yang memandang serius isu ini sukar diterima kerana pelajar perempuan yang terdedah kepada gangguan seksual kini tidak dapat dilindungi di bawah mana–mana akta akibat kelewatan pembentangan RUU Akta Gangguan Seksual.

Beliau berkata, akta ini memberi impak yang besar dan sasaran perlindungan juga inklusif merangkumi semua peringkat masyarakat.

“Yang lebih menyedihkan ialah apabila Muhyiddin enggan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil Parlimen bersidang walaupun Tuanku telah menyampaikan titah nasihat bahawa Parlimen boleh bersidang Ketika Darurat berkuatkuasa, dan hampir semua Ahli Parlimen telah menerima vaksin Covid-19,” kata beliau dalam kenyataan.

Beliau juga menegaskan bahawa gangguan seksual adalah perbuatan jenayah walaupun sesama jantina.

Sebelum ini, pembentangan RUU Akta Gangguan Seksual telah dijadikan agenda utama dalam unjuran keutamaan oleh Datuk Seri Dr. Wan Azizah yang merupakan Menteri KPWKM dalam kerajaan Pakatan Harapan.

“Maka kerajaan pintu belakang Muhyiddin adalah #kerajaangagal apabila telah mendedahkan rakyat kepada risiko gangguan seksual pelbagai bentuk hanya kerana mahu mempertahankan kuasa.

“Jika Menteri – Menteri frontliner yang sepatutnya melindungi rakyat tidak faham tanggungjawab mereka, silalah mohon maaf kepada rakyat dan berundur dengan bermaruah!” katanya.

Rina memberi respons terhadap isu ini, memandang serius perkara itu dan ia tidak sewajarnya berlaku, justeru siasatan akan dijalankan bagi memastikan perkara itu tidak berulang.

Sebelum ini tular di laman Twitter beberapa pelajar mendedahkan amalan pemeriksaan haid itu terjadi di sekolah, dan mereka mendakwa turut diminta membuka pakaian dalam bagi membuktikan mereka sedang dalam haid dan tidak boleh berpuasa.

Pengerusi MARA Datuk Azizah Mohd Dun menerusi satu kenyataan berkata pihaknya sudah menggerakkan siasatan dalaman bagi meneliti dakwaan terdapat sekolah melakukan pemeriksaan sedemikian bagi mengelak pelajar ponteng solat ketika bulan puasa.