Malaysia Dateline

Rina nafi peruntukan Mara dipotong 50 peratus

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Harun menafikan dakwaan kononnya  peruntukan untuk Majlis Amanah Rakyat (MARA) dalam Belanjawan 2019 dipotong sehingga 50 peratus.

Beliau dalam kenyataan hari ini menjelaskan sebaliknya peruntukan yang disalurkan adalah hampir sama dengan jumlah yang telah diperuntukkan pada tahun lepas.

Pada 2018, katanya jumlah keseluruhan peruntukan diterima MARA adalah sebanyak RM3.79 bilion dengan pecahan RM 3.48 bilion di bawah belanja mengurus, manakala sebanyak RM307 juta lagi di bawah belanja pembangunan.

“Bagi Belanjawan 2019, jumlah keseluruhan yang diumumkan kerajaan berjumlah RM3.705 bilion dengan pecahan RM1.3 bilion di bawah belanja mengurus, manakala RM2.4 bilion di bawah belanja pembangunan,” jelasnya.

Dalam Belanjawan 2019, Rina berkata wujud penstrukturan semula melibatkan peruntukan bagi program penganjuran pelajaran MARA sebanyak RM2.057 bilion yang dipindahkan ke bawah belanja pembangunan.

“Akan tetapi pada tahun 2018, penyaluran peruntukan bagi program tersebut diletakkan di bawah belanja mengurus,”jelasnya.

Anggota Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin pada Isnin lepas menuntut kerajaan menjelaskan pengurangan peruntukan MARA sehingga lebih 50 peratus daripada RM3.5 bilion pada 2018 kepada hanya RM1.3 bilion untuk 2019.

Rina berkata peruntukan kerajaan kepada sesebuah agensi perlu dilihat secara menyeluruh meliputi belanja mengurus dan belanja pembangunan.

“Kekeliruan yang ditimbulkan ini tidak sepatutnya berlaku jika Belanjawan 2019 yang diedarkan dibaca secara menyeluruh,” katanya.

Menurut Rina, kerajaan Pakatan Harapan sentiasa prihatin dengan keperluan untuk membangunkan Bumiputera terutamanya program-program yang dilaksanakan di bawah MARA.

“Sebagai sebuah agensi yang ditubuhkan khusus untuk membantu dan memajukan ekonomi Bumiputera, kerajaan sama sekali tidak akan mengurangkan peruntukan, sebaliknya akan terus berusaha untuk memastikan program bagi pembangunan Bumiputera terutamanya di luar bandar dan masyarakat B40 sentiasa diperluaskan,” katanya.

— BERNAMA