Malaysia Dateline

Rina perlu jelaskan bantuan untuk yang kibarkan bendera putih di Dewan Rakyat

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat Datuk Seri Rina Harun perlu membentangkan laporan khas ke Parlimen dalam bulan Julai mengenai apa yang kerajaan telah buat untuk membantu mereka yang mengibarkan “bendera putih” bagi meminta bantuan dan juga mengenai peningkatan kadar bunuh diri akibat Covid-19.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang berkata, dalam sidang Parlimen Julai ini, kerajaan perlu membentangkan laporan penuh mengenai usaha memerangi wabak Covid-19 dalam tempoh 18 bulan yang lepas.

“Kerajaan perlu menjelaskan mengapa Malaysia telah terjunam menjadi salah satu negara dengan prestasi terburuk dalam mengendalikan wabak Covid-19 di dunia,” kata veteran DAP itu.

Namun begitu, apakah akan ada atau tidak persidangan Parlimen sebelum 1 Ogos ini masih menjadi tanda tanya walaupun ia telah dititahkan oleh Yang Dipertuan Agong untuk berbuat demikian.

Ini kerana, Kabinet telah tidak bersidang semalam bagi membolehkan keputusan itu dibuat akibat dari Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Md Yassin telah terkena cirit birit.

“Akhirnya kita telah sampai ke bulan Julai 2021, bulan terakhir sebelum darurat berakhir pada 1 Ogos 2021, tetapi sehingga kini masih tidak ada sebarang berita yang Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan memanggil sidang Parlimen sebelum 1 Ogos 2021.

“Kita doakan yang terbaik dan semoga beliau sembuh segera, tetapi perkara ini tidak sepatutnya menghalang beliau untuk bersetuju untuk memanggil sidang Parlimen sebelum 1 Ogos,” katanya.

Menurut beliau, sekiranya keputusan ini dibawa ke mesyuarat Kabinet pada 7 Julai, mustahil untuk kerajaan menepati keperluan notis 28 hari yang diperuntukkan oleh Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat, “walaupun terdapat peruntukan di bawah Peraturan Mesyuarat 9(2)(a) dan 11(2) untuk mengetepikan notis 28 hari ini.”

Yang di Pertua Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun, dan Yang di Pertua Dewan Negara, Rais Yatim, telah mengesahkan dalam kenyataan bersama mereka semalam bahawa Yang di Pertuan Agong telah menitahkan kepada mereka pada hari Selasa bahawa Parlimen perlu bersidang semula sebelum 1 Ogos untuk membahaskan Proklamasi dan Ordinan Darurat dan juga Pelan Pemulihan Negara.

Bagi beliau, sidang Parlimen yang perlu dipanggil ini haruslah mengambil bentuk sidang Parlimen seperti biasa, dengan Pembukaan Rasmi oleh Yang di Pertuan Agong pada hari pertama, diikuti dengan perbahasan titah diraja.

Ia perlu diikuti dengan perkara-perkara lain yang perlu dibahaskan termasuklah Proklamasi dan Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara — bukan sidang khas pada bulan Julai yang kemudiannya disusuli dengan persidangan penuh pada penghujung bulan Ogos seperti yang dicadangkan Rais, katanya.

Bagi Kit Siang, Malaysia kini berhadapan dengan dilema perlembagaan, bagaimana untuk mengendalikan dua perkara berperlembagaan ini — sama ada ordinan darurat ini boleh dihakimi di mahkamah dan bagaimana untuk memperbaiki pencabulan prinsip perlembagaan bahawa Parlimen tidak boleh digantung dalam tempoh darurat.

“Dengan persidangan Parlimen sebelum 1 Ogos, sekurang-kurangnya negara kita boleh terus bergerak ke hadapan dengan asas pembentukan negara yang berteraskan sistem raja berperlembagaan yang berteraskan demokrasi berparlimen,” katanya.