Malaysia Dateline

Rina tidak ada kesungguhan, tidak faham pentingnya RUU gangguan seksual

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Harun gagal memahami kepentingan Rang Undang-Undang (RUU) gangguan seksual susulan kenyataannya agar mangsa gangguan terus membuat laporan kepada pihak berkuasa dan tidak menunggu RUU dibentangkan.

Ketua Wanita PKR, Fuziah Salleh berkata, Rina tidak memahami kepentingan RUU berkenaan bagi mengukuhkan undang-undang sedia ada yang ketika ini tidak mencukupi untuk menangani kes gangguan seksual.

Beliau mendesak agar Rina lebih berhati-hati dalam membuat kenyataan kerana kenyataannya itu cukup tidak bertanggungjawab, serta membuktikan tiada kesungguhan membela nasib pemandiri gangguan seksual.

“Jika Rina komited, beliau seharusnya sudah mengumumkan pada ketika itu juga tentang tempoh jangkaan RUU Gangguan Seksual akan dibentangkan di Parlimen dan bukan sekadar menyatakan bahawa pemandiri boleh buat laporan polis.

“Rina seharusnya lebih memahami bahawa laporan polis merupakan prosedur biasa yang dipraktiskan oleh orang awam.

“Jadi sepatutnya Rina menggunakan kesempatan tersebut untuk menegaskan bahawa pemandiri perlu dilindungi melalui intervensi kaunseling trauma serta proses keadilan yang lebih efektif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Rina menyarankan mangsa gangguan seksual untuk terus membuat laporan kepada pihak berkuasa tanpa perlu menunggu RUU Gangguan Seksual dibentangkan di Parlimen.

Beliau berkata, kerajaan sudah mempunyai undang-undang sedia ada berkaitan kes tersebut kerana RUU gangguan seksual perlu melalui pelbagai proses.

Sementara itu, Fuziah mendesak agar kerajaan mengemukakan pelan menangani keganasan berasaskan gender termasuk memberikan tumpuan kepada kes gangguan seksual dalam tempoh pandemik Covid-19.